Sabah penerima terbesar inisiatif JENDELA RM2.45 bilion

KOTA KINABALU: Sabah adalah penerima terbesar projek pembangunan infrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM2.45 bilion, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk penduduk Sabah setanding dengan kemudahan disediakan di negeri-negeri lain di Malaysia.

“Rakyat Sabah akan mendapat capaian jalur lebar lebih meluas bermula pada penghujung tahun ini sehingga 2022. Sejumlah 419 menara baharu akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G.

Advertisement

“Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan melibatkan 251,166 premis di seluruh Sabah,” katanya ketika berucap melancarkan Gerbang Sabah, yang merupakan komponen penting JENDELA bagi memantapkan penyediaan infrastruktur digital negara, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Muhyiddin berkata Gerbang Sabah adalah titik sambungan Internet antara Sabah serta seluruh dunia yang dipercayai akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan negeri ini, selain mempersiap rakyat untuk menghadapi masa depan berlandaskan inovasi dan teknologi.

Inisiatif Gerbang Sabah diharap dapat mempertingkat tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih cepat dan menyeluruh.

“Gerbang Sabah akan menjadi titik mula kepada peningkatan keupayaan digital rakyat di negeri Sabah dan membuka peluang kepada saudara dan saudari semua untuk menempa kemajuan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan menerusi MCMC juga telah menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat Sabah termasuk menjana pendapatan menerusi e-Dagang.

Memandangkan golongan belia adalah kumpulan pengguna kemudahan jalur lebar yang paling aktif, kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan akan bekerjasama bagi mewujudkan pakej khas capaian jalur lebar untuk mereka, antara lain menerusi perkhidmatan kos rendah serta terma menarik bagi membantu golongan itu memenuhi keperluan pembelajaran dan perhubungan era norma baharu, katanya.

“Semua aspirasi ke arah pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mampan untuk rakyat Sabah bermula di Gerbang Sabah. Kapasiti sambungan jalur lebar di sini akan disalurkan kepada infrastruktur seperti ibu sawat gentian optik dan menara telekomunikasi di seluruh negeri,” katanya.

Muhyiddin berharap usaha tersebut akan merapatkan jurang digital antara negeri-negeri di Malaysia selain meningkatkan reputasi Sabah di mata dunia.

Sementara itu, beliau berkata kapasiti Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) di Tanjung Aru telah dipertingkat daripada empat Terabit sesaat kepada 7.3 Terabit sesaat.

Perdana Menteri berkata Telekom Malaysia juga menaik taraf dan menggandakan lagi kapasiti SKRM sebanyak tiga kali sehingga sekurang-kurangnya 12.8 Terabit sesaat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Ini akan melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan asal RM575.5 juta oleh MCMC dan Telekom Malaysia,” katanya, sambil menambah, kapasiti SKRM penting untuk menampung peningkatan penggunaan internet oleh rakyat Sabah serta menyokong matlamat pelan tindakan JENDELA yang sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata sebanyak 96.9 peratus kawasan berpenduduk di negara ini akan diliputi perkhidmatan 4G menjelang 2022 sebelum kerajaan memperluaskan rangkaian 5G.

“Saya ingin mengulangi komitmen kerajaan Perikatan Nasional untuk mentransformasi pelan tindakan JENDELA dan pelancaran Gerbang Sabah adalah sebahagian penting daripada inisiatif ini,” katanya. – BERNAMA