PJ Pulau Pinang sertai kayuhan santai

- Advertisement -

BALIK PULAU: Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) serta Alternative Cycling Club (ACC) Kawasan Balik Pulau telah menganjurkan program kayuhan santai Hari Malaysia dengan berbasikal mengelilingi kawasan sekitar.

- Advertisement -

Program yang diadakan ini berjaya menghimpunkan seramai 20 peserta kayuhan terutama dari kawasan Balik Pulau dan sekitarnya.

Turut sama dalam program ini adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff merangkap Penaung ACC Balik Pulau dan Yang DiPertua PAS Balik Pulau.

Menurut Pengerusi DACS Balik Pulau, Muhammad Aliff Haikal Rosli, ACC ialah kelab basikal yang ditubuhkan di bawah DACS Pemuda PAS Malaysia sebagai medium dalam berdakwah dan memupuk semangat persaudaraan.

“Di samping berkongsi minat sama dalam bidang basikal, aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan, para peserta kayuhan juga dapat berkenalan antara satu sama dan berbasikal sambil menikmati khazanah alam, hutan dan bukit bukau.

“Dalam pada masa yang sama dapat mengisi masa lapang sempena cuti umum Hari Malaysia dengan aktiviti berfaedah dalam menarik anak muda menyertai ACC,” ujarnya.

Menurut Ustaz Muhammad Fauzi pula, Islam tidak pernah melarang umatnya bersukan tetapi yang penting ialah menjaga aurat dan batas semasa bersukan. – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -