Evolusi kerja dakwah Penggerak Masyarakat Orang Asli

- Advertisement -

PADA ketika ini, sebanyak 253 perjawatan PMOA untuk 9 buah negeri di Malaysia. Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) telah diwujudkan melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 1993. 

Mereka ditempatkan di perkampungan orang asli (KOA) dengan jumlah kampung seliaan adalah sebanyak 652 buah kampung di seluruh negara. Jawatan PMOA yang sehingga kini berstatus tetap dan kontrak adalah bertujuan untuk memperkenalkan keindahan Islam dan  berusaha menyantuni masyarakat Orang Asli khususnya yang beragama Islam secara istiqamah dan berterusan.

Semenjak perjawatan ini diwujudkan, jumlah peningkatan pengIslaman turut meningkat. Sehingga kini, jumlah masyarakat Orang Asli beragama Islam adalah sebanyak 24 peratus.

- Advertisement -

PMOA tidak hanya bertugas sebagai pengajar semata-mata

Selain memberikan pendidikan agama yang berterusan dengan melaksanakan kelas fardhu ain sekurang-kurangnya 2 kali seminggu di kampung Orang Asli, PMOA juga melaksanakan tugas-tugas menjaga kebajikan Orang Asli, mereka juga berperanan besar dalam melahirkan imam, bilal dan pengurus jenazah dalam kalangan Orang Asli. 

Pencapaian

Sehingga kini, terdapat 29 buah surau yang mendapat kebenaran Diri Solat Jumaat di kampung Orang Asli seluruh Malaysia. 

Terdapat juga seramai 17 orang imam dalam kalangan Orang Asli yang bertugas mengimarahkan Surau Jumaat ini. Ada juga di antara mereka yang membacakan khutbah Jumaat dalam kalangan bahasa sukuan masing-masing. 

Hasil daripada peranan PMOA ini juga, terdapat  6 Orang Asli yang telah layak diberikan tauliah sebagai Guru Takmir di kampung Orang Asli.

Kejayaan-kejayaan ini turut mendapat komitmen dan sokongan yang padu daripada Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (MAIN atau JAIN). Peranan MAIN atau JAIN, agensi serta NGO turut menyumbang ke arah peningkatan pengIslaman dan pemantapan penghayatan Islam dalam kalangan Orang Asli. Bantuan kewangan, latihan serta sokongan moral institusi ini kepada PMOA dan dakwah khasnya Orang Asli adalah salah satu kerjasama strategik dan sentiasa wujud setelah sekian lama.

Semoga peranan PMOA dalam usaha dakwah Orang Asli terus subur dan sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -