Rekod Arkib Negara kini dalam versi digital

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 juta imej dokumen dan 2,746 jam bahan pandang dengar yang disimpan di Arkib Negara Malaysia (ANM) sudah dipindahkan ke dalam bentuk digital sejak 2013.

Ketua Pengarah ANM Datuk Azemi Abdul Aziz berkata bahan yang dijadikan versi digital itu boleh diakses secara dalam talian melalui ofa.arkib.gov.my sekali gus membolehkan penyelidik, pengkaji dan masyarakat mengakses rekod serta bahan yang disimpan ANM walau di mana mereka berada.

“Kita galakkan mereka untuk menggunakan bahan digital kerana kita mahu mengurangkan kerosakan pada bahan asal. Penyebaran bahan juga dapat dilakukan dengan lebih meluas, kerana versi digital boleh diakses dari mana-mana sahaja,” katanya kepada Bernama.

Advertisement

Azemi berkata ANM turut giat melakukan usaha membuat salinan dokumen mengenai negara ini yang tersimpan di luar negara sebelum diubah kepada format digital.

“Ketika ini, kita bekerjasama dengan arkib di United Kingdom dengan membuat salinan supaya penyelidik tidak perlu ke luar negara untuk meneliti dokumen itu,” katanya.
 
Pada masa sama, Azemi berkata sebanyak 400 terabait (TB) kandungan digital dalam pelbagai format telah dipindahkan ke Pusat Pemulihan Bencana (DRC) yang akan berfungsi sepenuhnya pada Oktober ini.

DRC adalah infrastruktur fizikal yang menggantikan Pusat Data Utama (Data Centre) sekiranya berlaku bencana.

“Ia dilengkapi dengan perkakasan, perisian, sistem aplikasi dan rangkaian yang menyerupai pusat data utama bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan adalah berterusan jika berlaku bencana terhadap sistem aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Replikasi data daripada Pusat Data Utama ANM ke DRC akan dilakukan secara berjadual dan automatik. Kita juga sedang melaksanakan aktiviti simulasi DRC bagi memastikan data dan kandungan digital yang terdapat pada Pusat Data Utama ANM berjaya direplikasi ke DRC ANM,” katanya.

Jelasnya, melalui projek DRC ini semua sistem aplikasi kritikal ANM sentiasa dapat dicapai secara dalam talian.
 
“Semua maklumat yang disimpan dalam format digital akan sentiasa terpelihara dan boleh dicapai oleh orang ramai pada setiap masa sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan ANM kepada rakyat dapat disediakan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Azemi berkata koleksi dokumen bersejarah peribadi milik 570 tokoh persendirian yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional seperti Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, Datuk Wira Dr Maznah Hamid, Datuk Sudirman Arshad dan Tan Sri P. Ramlee telah diserahkan kepada ANM.

Bahan-bahan yang diterima meliputi rekod pelbagai jenis antaranya surat-menyurat peribadi, diari, buku coretan, filem, pita rakaman dan lain-lain sama ada yang dihasil atau diterima oleh tokoh.

“Setiap bahan yang dimaklumkan kepada kita, kita akan mengenal pasti dan menyemaknya. Jika ada kepentingan sejarah maka kita akan menyimpan dan memuliharanya,” katanya. – BERNAMA