Kami tak pernah sesal kerana bantu parti lain

- Advertisement -

WALA’ dan taat adalah istilah di dalam Islam dan ianya hanya difahami oleh mereka yang terlibat di dalam jamaah Islam. Wala’ bermaksud kepatuhan, kasih dan setia dengan ikhlas kepada perjuangan Islam kerana Allah. Adapun taat pula bererti kepatuhan mengikut perintah sahaja. Maka ketaatan menjadi sebahagian daripada sifat wala’ yang mesti dikukuhkan dengan kasih dan setia dengan ikhlas yang tidak berbelah bahagi, bagi mencapai tujuan wala’.

Kasih sayang ahli kepada PAS akan berkekalan selagi sifat wala’ dan taat ini ada dalam diri. Ahli yang memiliki sifat wala’ pasti akan memiliki sifat taat, tetapi ahli yang taat belum pasti memiliki sifat wala’, keduanya adalah berbeza, wala’ lebih bermaksud kesetiaan dan taat lebih bermaksud kepatuhan. Keduanya memiliki implikasi hukum, dosa atau pahala, istilah dan sifat inilah yang saban hari dipupuk ke lubuk sanubari ahli PAS dalam program-program tarbiyyah.

Sepanjang tempoh kempen PRU10 DUN Lepar memang memenatkan, bukan sahaja kerana gerak kerja yang mesti bermula dari ‘A’ kerana calon yang tidak dikenali dan juga DAP yang begitu asing tetapi juga terpaksa menempuh perjalanan yang agak jauh. Kata-kata sinis mula kedengaran terhadap kami, setiap hari cercaan semakin pahit, kami telan semuanya, kami terus bekerja sehingga ke garisan penamat, tiada satu hari pun kami berhenti bekerja.

- Advertisement -

Markas PAS meriah dengan para amilin parti yang bertungkus lumus membantu dua calon, calon Parlimen dari Keadilan dan DUN dari DAP, keduanya bukan PAS, namun kesibukan ahli PAS seperti kami pula yang bertanding, dana pergerakan kami, kami cari sendiri, DAP hanya sediakan poster, kami yang tampal, kami tahu DAP pembangkang macam kami juga, tak ada duit, tapi kami tetap bantu dengan menggunakan dana kami, dengan harapan DAP menang.

Calon DAP sentiasa berdampingan dengan saya siang dan malam, kami sediakan tempat tinggalnya, dia tak perlu memandu, kami yang bawa dia ke mana sahaja, kami jaga keselamatannya. Kami dah seperti adik abang, memang bila habis PRU, ada rasa sedih juga, kerana tempoh kempen itu sangat merapatkan kami, walau berlainan parti tapi kerana saban hari bersama, memang terasa juga bila berpisah, habis PRU dia datang semula ziarah kami. Kami buat juga jamuan kesyukuran selepas PRU walaupun yang bertanding itu DAP dan kalah pula itu, kami jemput dia dan dia datang ucap terima kasih, kami tak minta balasan pun hanya mengucapkan ‘sama-sama’.

Bila habis PRU, dia balik dan kekal DAP sampai sekarang, saya dan rakan-rakan yang menolong tetap kekal dengan PAS sampai sekarang. Bila DAP keluar dari BA selepas itu kerana tidak bersetuju dengan ‘Dokumen Negara Islam’yang dibentangkan oleh Allahyarham Presiden PAS pada masa itu, kami kembali berpisah, tapi kami tetap PAS, tidak sedikitpun timbul sesalan dalam hati kerana membantu DAP, sebab kami membantu mereka adalah kerana wala’ pada parti dan taat pada pimpinan kami, zahir dilihat kami membantu mereka tapi hakikatnya kami membantu PAS.

Bila PAS tak bertanding di Sabah, kami diperli dan dipersendakan, tapi kami tak kisah pun, kerana dalam diri kami ada wala’ dan sentiasa bersedia untuk taat. Kami faham kalau sekiranya kami sebagai ahli melanggarnya maka PAS akan berantakan, aspirasi parti dan pimpinan akan gagal dicapai, soal orang nak menganjing, biarkan mereka terus menganjing, kami tak mampu nak halang anjing menyalak sebab itu memang dah sifatnya.

Bersambung…

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

Catatan pengalaman
USTAZ ROSLI ABDUL JABAR – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -