Hubungan Mexico-Malaysia terus kukuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mexico dan Malaysia mempunyai banyak persamaan dalam banyak bidang termasuk bersama-sama meraikan 16 September, yang menjadi detik bersejarah buat kedua-dua pihak muncul sebagai sebuah negara, kata Duta Besar Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona.

Tahun ini, Mexico menyambut kemerdekaannya ke-210 manakala Malaysia meraikan penubuhannya yang ke-57.

Dalam video ucapan tahniah oleh Kedutaan itu di Youtube sempena menyambut peristiwa berkenaan, Corona berkata hubungan Malaysia dan Mexico berkembang pesat selama beberapa tahun kebelakangan ini dan akan terus maju dan bersatu pada masa depan.

- Advertisement -

“Mexico dan Malaysia menjalin hubungan; selama beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan kita berkembang maju dalam pelbagai bidang, tetapi aset terpenting yang kita miliki adalah modal insan. 

“Kita disatukan menerusi Pasifik; Pasifik bukan memisahkan kita; sebaliknya menjadi jambatan yang mendekatkan kita,” katanya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A. Dahlan, dalam perutusan balasnya menyeru rakyat untuk bersama-sama menghargai kebebasan dan keberkatan yang dinikmati. 

“Pada hari penuh bermakna ini, marilah kita bersama-sama menghargai kebebasan, menikmati kedaulatan dan keberkatan yang dinikmati. Marilah bersama berdoa semoga kejayaan dan kedamaian ini akan berkekalan. 

“Benar, pada masa ini, dunia mendepani cabaran COVID-19, tetapi semua negara harus bersatu, menghargai dan menghormati pengorbanan masa lalu, saling menyokong, hanya dengan itu kita akan terus maju dan makmur,” katanya. – BERNAMA 

- Advertisement -