Siapa pihak di belakang kegiatan haram?

Melihat cabaran kepada usaha Penyatuan Ummah Muafakat Nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peranan rakyat termasuk kalangan netizen yang aktif di internet telah memainkan peranan cukup penting dalam menggerakkan semak imbang terhadap perjalanan tadbir urus negara dewasa ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, netizen telah menjadi mata, mulut dan telinga kepada semua pihak terutama dalam memantau dan memastikan perjalanan negara berada dilandasannya.

Ini menurut beliau, secara tidak langsung menyebabkan setiap pihak akan melakukan sesuatu perkara dengan betul, jujur, telus dan berintegriti, sekali gus mengurangkan penyelewengan, salah guna kuasa dan seumpamanya.

- Advertisement -

Kamaruzaman menyatakan perkara tersebut dalam temubual khas sempena Setahun Piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada 14 September tahun lalu.

Dengan tindakan seperti itu terangnya, netizen telah memberi peringatan berguna untuk setiap pihak berkedudukan terutamanya, agar melaksanakan tanggungjawab sepatutnya dan bukan meraih kepentingan.

Netizen juga jelasnya, banyak membantu membongkar perlakuan atau kegiatan pihak tertentu yang boleh menjejaskan kepentingan awam yakni sesuatu bersifat ancaman dan gugatan atas negara, bangsa dan agama.

“Tindakan seperti ini bagaikan saling memberi nasihat mahupun amaran yang tentunya mengawal setiap pihak untuk berwaspada. Tanpa sokongan dan peranan netizen seperti ini, akan ada pihak yang bertindak secara melampau.

“Netizen juga menjadi penggerak perubahan dan mempengaruhi pilihan. Kita kena sentiasa pastikan keputusan kita menuju kepada kebaikan. Namun rakyat juga telah belajar peringatan berguna membuat pilihan salah semasa PRU14,” ujarnya.

Beliau memberi contoh ideologi Komunis yang ditentang di negara ini dan kebanyakan negara dunia, namun wujud menguasai dan menjadi pegangan dalam pemerintahan kerajaan negara tertentu di atas muka bumi ini.

Tambah beliau, begitu juga ideologi keganasan dan ekstrem juga boleh menguasai suatu pemerintahan atau kerajaan di mana setelah berada dikedudukan sedemikian ia terlalu sulit untuk diatasi melainkan akan berlaku konflik yang banyak.

Sebab itu katanya, netizen mesti hanya mempunyai pilihan dan menyeru kepada pilihan yang benar lagi baik, sekali gus menghalang atau mencegah kecenderungan kepada kemudaratan atau kerosakan.

Terang Kamaruzaman, dengan kedudukan parti-parti politik adalah pihak yang paling mungkin berada di kedudukan kuasa kerajaan atau pemerintahan, maka merekalah paling perlu diwaspadai rakyat dalam membuat pilihan.

“Lihat perkara yang berlaku dalam negara, contoh terdekat isu pencerobohan tanah kebun haram di Raub Pahang dan bengkel jentera berat yang dibina secara haram hingga mencemarkan sumber air di Rawang Selangor.

“Mari bersama perhatikan, pihak mana di belakang semua ini? Kenapa ada pihak yang ketika orang ramai menentang, tetapi mereka pula dilihat membela atau bersikap kompromi kepada setiap perkara yang haram atau menyalahi undang-undang seperti ini?

“Setiap kali ada isu berkaitan kegiatan haram atau melanggar dan menentang undang-undang, mereka di pihak yang bersama. Terlalu banyak premis dan penggunaan tanah secara haram, bila disiasat akan ada pihak ini.

“Begitu juga dengan ideologi Komunis yang kita tentang, kumpulan pengganas, kegiatan perjudian, arak, kelab malam, pelacuran, judi siber, dadah, pencemaran dan banyak lagi yang seumpamanya.

“Kenapa orang penting berkait kegiatan seperti ini sering kali ada bersama? Bagaimana jika mereka mempunyai kuasa? Kita rasa mereka akan membanteras atau menjadi pelindung semua kegiatan ini?” soal beliau.

Lantaran itu tegasnya, pemerhatian oleh netizen amat bermakna untuk menghindari dan menjadi laporan serta gesaan awam kepada pihak berkuasa untuk bertindak dan menanganinya. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -