Sultan Selangor beli kasut emas Khalid Jamlus

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus, pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Menurut akaun media sosial rasmi Selangor Royal Official semalam, majlis penyerahan ringkas tersebut berlangsung di Istana Alam Shah, Klang.

Baginda juga berkenan agar trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid pada tahun 2002 itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di perkarangan Istana Alam Shah.

- Advertisement -

Untuk rekod, Khalid pernah mewakili pasukan Selangor dalam Liga Perdana pada musim 2005-2006.

Khalid, yang juga bekas pemain Perak, merangkul anugerah Kasut Emas selepas menjaringkan 17 gol ketika membantu Perak muncul juara Liga Perdana 1 pada musim 2002.

Sebelum ini, media melaporkan bekas penyerang kebangsaan itu meletakkan harga RM10,500 menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya, setelah menganggur selama tiga tahun dan kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak disambung. – BERNAMA

- Advertisement -