Kementerian beri fokus serius pembangunan SAR, pondok

Foto hiasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha memberikan perhatian serius terhadap pembangunan Institusi Pendidikan Islam seperti Pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Menterinya, Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia bagi memastikan generasi akan datang mendapat pendidikan dan kefahaman Islam yang mantap.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian untuk mengulas persoalan Senator Ahmad Yahya yang memintanya menyatakan bentuk bantuan kepada sekolah pondok agama rakyat dan yang berdaftar dengan jabatan agama Islam negeri serta yang tidak berdaftar dengan JAKIM.

Sementara itu, katanya pendaftaran institusi Pondok dan SAR di negeri-negeri adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

“Peranan JAKIM adalah sebagai agensi penyelaras di peringkat persekutuan ianya termasuklah menyelaras, pengumpulan data institusi pendidikan Islam berkenaan melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI),” jelasnya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Manakala kata beliau, bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada Institusi Pondok dan SAR antaranya ialah dari aspek selenggara dan naik taraf bangunan serta infrastruktur.

Dalam pada itu, Senator Ahmad Yahya turut meminta agar kerajaan mengembalikan bantuan berkapital kepada sekolah-sekolah agama rakyat sebagaimana sebelum tahun 2002.

Ujar Zulkifli, kerajaan telah melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2018, 2019 dan 2020 telah menyalurkan peruntukan one-off bantuan awal persekolahan berjumlah RM100 kepada pelajar warganegara Malaysia dalam kalangan B40.

Di samping itu, katanya pihak Majlis Agama Islam negeri-negeri menerusi dana zakat turut terlibat secara aktif dalam menghulurkan bantuan setiap kali tibanya sesi awal persekolahan. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -