Jangan rasa kekok pakai ‘face mask’

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati rakyat Malaysia supaya tidak janggal atau berasa kekok untuk mengamalkan pemakaian pelitup hidung dan mulut yang kini sudah menjadi kebiasaan baharu.

Menurut beliau, kesemua rakyat memainkan peranan sebagai petugas barisan hadapan dalam mendepani cabaran wabak jangkitan Covid-19 melalui pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan-amalan normal baharu.

Katanya berdasarkan kajian para penyelidik dari seluruh dunia, laporan trend menunjukkan Covid-19 masih menular secara aktif dan dijangka berterusan untuk tempoh yang panjang.

- Advertisement -

Jelasnya kajian tersebut mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 secara berkesan yang memerlukan kewujudan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan.

“Dalam situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 pada ketika ini, tidak terkecuali. Malaysia juga masih mengalami penularan wabak ini secara aktif.

“Ini memberi gambaran bahawa rantaian Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

Justeru itu kata Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia khususnya supaya berwaspada dan tidak leka dengan peraturan-peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup hidung dan mulut serta pematuhan SOP yang masih berkuat kuasa.

“Saudara dan saudari mesti terus berdisiplin dan patuh kepada peraturan, ini penting supaya kita dapat mengawal penularan wabak Covid-19,” ujarnya sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di mana-mana kawasan yang mencatatkan peningkatan kes aktif yang tinggi.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Situasi Semasa Covid-19 melalui siaran langsung di kaca televisyen sebentar tadi.

Petang tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan sebanyak 23 kes baharu dengan penemuan satu lagi kluster iaitu Kluster Pulau.

Kluster Pulau adalah kluster Sabah ketiga yang dilaporkan sejak 1 September, apabila kluster Benteng LD pertama kali dilaporkan. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -