Pilihan Raya PBT tidak akan dilaksana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan, kerajaan telah memutuskan untuk tidak melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) yang merupakan manisfesto Kerajaan Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun kata Timbalan Menteri KPKT, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Mutalib, agenda pemerkasaan PBT akan diteruskan melalui pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akta 171 khususnya, bagi pelantikan Ahli Majlis dan semakan semula kadar cukai taksiran.

- Advertisement -

Justeru itu, KPKT akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh dalam usaha untuk memperkasakan perkhidmatan di PBT.-

Menurut Ismail, sebelum ini KPKT telah melaksanakan beberapa kajian Kebolehlaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) sepanjang tahun 2018 hingga 2019.

Katanya lagi kajian tersebut telah mengenal pasti tiga aspek penting untuk pelaksanaan PRKT.

Antaranya kata beliau adalah aspek perundangan yang melibatkan akta-akta dan peraturan-peraturan yang perlu dibuat pindaan seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976 akta 171 dan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 akta 473.

Beliau berkata demikian, bagi menjawab pertanyaan Senator Dato’ Ismail Ibrahim dalam sidang Dewan Negara hari ini, berhubung kajian dan dialog dengan rakyat mengenai kewajaran cadangan kerajaan untuk meneruskan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) dalam keadaan ketidakseimbangan komposisi kaum yang menetap di bandar-bandar utama atau luar bandar.

Mengulas lanjut timbalan menteri berkata aspek seterusnya adalah soal implikasi kewangan yang melibatkan kos pelaksanaan PRKT, dan mekanisme pelaksanaan yang mengambil kira peranan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Pun begitu beliau menegaskan, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah menegaskan tidak akan menjalankan pilihan raya PBT – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -