PRN Sabah: Di sebalik dakwaan PAS gagal

- Advertisement -

PAS gagal meletakkan calonnya di PRN Sabah kali ini selepas gagal menemui kesepakatan dalam perundingan dengan parti-parti rakan di Sabah. Ia sudah pasti amat mendukacitakan. Tetapi PAS menerimanya dengan lapang dada. Kegagalan adalah untuk hari ini. Esok bukan hari ini.

PAS menjunjung politik akhlak yang mulia dan moral yang tinggi. Sebagaimana insan yang mulia akhlaknya membina keindahan untuk dirinya, begitulah untuk orang di sekelilingnya. Ia memancar cahaya buat semua rakan-rakan dan mencetus kegembiraan.

Mesej PAS, rakyat mahukan politik negara yang lebih berintegriti dan sejahtera. Semuanya mesti bermula dengan kesepakatan sesama parti-parti politik deminya. Ia bukan mudah. Ia perlukan perjuangan berterusan. Istiqamah. Ada yang mentertawakan PAS. Ya, itulah senjata orang yang gagal. 

- Advertisement -

Kehendak sebenar mereka adalah PAS gagal berunding dan gagal menerima kegagalan itu lalu memberontak, melawan balik dan memecah belahkan kesepakatan di antara parti-parti rakan dengan bertanding bersendirian di PRN Sabah. Dengan itu, mereka mendapat senjata paling ampuh melakukan serangan sepanjang kempen pilihan raya.

Malang buat mereka, PAS memilih jalan kemuliaan. Orang menang senyum gembira. Orang kalah asyik mempersenda mengubat duka. Mesej dan matlamat perjuangan kekal dipertahankan. PAS gembira melihat parti-parti rakan memasuki pilihan raya dengan penuh kesatuan. Semoga menang dan berjaya buat Umno dan rakan-rakan di Sabah.

Saya hadir berkempen, insya-Allah.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -