Kawal perairan, pertahan kedaulatan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tegas dalam komitmen mempertahankan keutuhan wilayah, kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara termasuk perairan Laut China Selatan dengan melakukan rondaan dan pemantauan oleh agensi penguatkuasa berkaitan.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Dato’ Kamarudin Jaffar, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa memberikan perhatian terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dato’ T Mohan mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan dalam membendung pencerobohan berterusan tentera laut dan agensi penguatkuasa maritim China di kawasan perairan negara pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Katanya, dalam mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara, Kerajaan Malaysia harus mengambil sikap berhati-hati dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan escalation dan mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di dalam kawasan perairan negara.

Bagaimanapun katanya, semua agensi-agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim di negara ini sentiasa komited dalam memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan Malaysia kekal terpelihara.

Mengulas lanjut katanya, kehadiran dan jumlah kapal perang di satu-satu kawasan maritim seperti di Laut China Selatan juga berpotensi meningkatkan ketegangan dan boleh mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan.

Dalam hal ini, katanya kerajaan mengambil pendirian bahawa semua negara perlu mengurangkan kehadiran kapal perang di Laut China Selatan.

Sehubungan itu kata beliau, pendirian negara juga disuarakan di platform-platform serantau dan antarabangsa.

Justeru itu, kerajaan telah mengambil pendekatan diplomasi dengan negara-negara yang berkaitan di mana Malaysia menegaskan bahawa Laut China Selatan mesti kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

Bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan, negara-negara Asean dan China telah mengadakan Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November yang lalu.

Melalui DOC tersebut katanya, negara-negara ASEAN dan China bertekad untuk melaksanakan program-program yang bertujuan untuk pembangunan kapasiti, keupayaan dan membina kesaling percayaan (confidence building) serta menangani sebarang perbezaan secara aman.

Selain itu katanya, negara-negara ASEAN dan China juga sedang merunding Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan yang akan dimuktamadkan kelak antara negara-negara Asean dan China akan dipatuhi untuk memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan negara terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -