PAS tidak ketandusan pemimpin

Perwakilan Negeri Sembilan, Norman Ipin
Perwakilan Negeri Sembilan, Norman Ipin membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS kali ke-66 di PUTIK, Kelantan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Keberadaan wakil pemimpin PAS dalam Kerajaan Persekutuan sekarang membuktikan bahawa parti itu tidak pernah ketandusan pemimpin yang berkaliber, demikian kata perwakilan Negeri Sembilan, Norman Ipin.

Katanya, ia terbukti apabila jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang diberikan kepada pemimpin PAS dapat dilaksanakan dengan baik.

- Advertisement -

Malahan katanya, ada yang terkehadapan dalam menangani isu negara sehingga memberi impak positif kepada rakyat keseluruhannya.

“Saya mewakili rakyat Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada Menteri dan Timbalan Menteri (PAS) yang telah diberikan amanah ini.

“(Khususnya) Kepada Dato’ Dr Khairuddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), saya mewakili warga anak Felda mengucapkan sekalung tahniah kerana berjaya menaikkan harga komoditi yang mana satu ketika duhulu harga komoditi cukup rendah.

“Namun dengan usaha yang dilakukan harga komoditi sekarang cukup memberangsangkan. Inilah antara bukti PAS tidak ketandusan kepimpinan,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan kali ke-66, di sini, hari ini.

Menurut Norman, ini jelas sekali bahawa PAS telah berjaya menonjolkan politik Islam bukan semata-mata menekankan aspek kekuasaan dalam pemerintahan, malahan juga aspek amanah, penghayatan dan itqan dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.

Selain itu, negeri yang ditadbir oleh PAS juga terbukti tadbir urusnya bebas daripada gejala rasuah dan penyelewengan.

“Terbukti juga dalam pengurusan kerajaan negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang bebas daripada gejala rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norman menggesa semua lajnah perlu bergerak mengadakan hubungan dengan semua lapisan masyarakat melalui kebajikan, hubungan dengan NGO Islam dan bukan Islam, demi membela nasib rakyat dan menyelesaikan segala permasalahan masyarakat termasuklah di bandar, luar bandar, dan penempatan Felda. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -