Kekalkan PAS jadi ‘obor’ harapan rakyat – Dato’ Takiyuddin

Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: PAS mesti kekal menjadi ‘obor’ harapan kepada masyarakat dan negara Malaysia.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, PAS juga perlu berazam bagi membina negara yang baik untuk semua orang.

Advertisement

“PAS dan ahli, serta pimpinannya harus kekal sebagai obor harapan ke arah masyarakat dan negara yang baik, adil, bermaruah dan berakhlak.

“Kita perlu berazam membina negara yang baik untuk semua orang, yang adil dan saksama.

“Di mana semua orang berpeluang menggapai awan tanpa rasa takut atau tertekan. Inilah harapan dan komitmen kita,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-66, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PAS sebuah parti lama yang berpengalaman akan terus cenderung dan terdorong kepada permuafakatan.

“Kita (PAS) sebagai parti politik yang agak lama dan mempunyai aneka pengalaman di negara ini.

“PAS akan terus cenderung dan terdorong kepada permuafakatan, kerjasama, tolak ansur, sikap harmoni dan saling menghormati dalam perkara berkebajikan dan bermanfaat. Saksama dan adil serta menyumbang kepada manfaat terbanyak dan bersama.

“Ini terbukti, apabila kita telah berjaya mengubah lanskap politik orang Melayu Islam di negara ini melalui wawasan penyatuan ummah, sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno, yang genap usianya setahun pada 14 September ini,” jelasnya di hadapan 1,046 perwakilan di PUTIK dan atas talian di Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.

Menurut Takiyuddin, PAS bersetuju menyertai Perikatan Nasional (PN), yang diterajui BERSATU dan beberapa parti lagi.

“PAS atas dasar perjuangannya akan terus bertoleransi. Namun, sedia berkeras demi untuk memastikan berjayanya suatu muafakat yang jujur dan tidak bermuslihat.

“Kerjasama yang mementingkan ummah, bukannya habuan peribadi dan berteraskan telunjuk yang lurus bukannya kelingking yang berkait,” tegasnya kepada perwakilan.

Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, ‘Orang bertanam buloh, mari kita bertanam padi, biarlah orang bertanam musuh, mari kita bertanam budi’.

Tambahnya lagi, ‘Jikalau kita bertanam padi, senanglah makan adik-beradik, jikalau kita bertanam budi, orang yang jahat menjadi baik’. – HARAKAHDAILY 13/9/2020