Ahli PAS digesa fahami pra-syarat kemenangan

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiap ahli dan pemimpin PAS digesa memahami pra-syarat kemenangan di mana objektifnya untuk menghasilkan gerak kerja yang mempunyai penyusunan dan berperancangan sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah As-Sof, ayat empat.

Ucapan yang disampaikan oleh perwakilan Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman menarik perhatian hadirin agar lima pra-syarat kemenangan iaitu akidah yang mantap, keikhlasan, istiqamah, taat dan sanggup berkorban , direalisasikan agar menjadi ahli jemaah yang mantap dan cemerlang.

- Advertisement -

“Kalau sekadar semangat sahaja tidak cukup, gerak kerja yang tersusun dan berperancangan perlu dilaksanakan,” sambung beliau.

Berikutan itu katanya, sekiranya perkara tersebut tidak diberi perhatian, tidak mustahil kebenaran yang tidak tersusun akan berjaya dikalahkan oleh kebatilan yang berperancangan.

Sambungnya lagi, selain gerakan menambah keahlian parti, menyantuni masyarakat, ahli dan pemimpin PAS perlu menghadiri usrah agar memahami objektif perjuangan sebenar.

“Jangan jadikan markas cawangan seperti rumah usang yang tiada penghuni, setiap lajnah perlu berfungsi agar PAS menjadi parti yang disegani,” ujarnya.

Kesempatan itu, beliau juga menawarkan Melaka sebagai tuan rumah untuk Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-67 tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -