DPPM beri anugerah kepada lima tokoh

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menganugerahkan Anugerah Khas kepada lima tokoh sebagai tanda penghargaan kerana telah mencipta nama masing-masing sama ada di peringkat parti atau dalam kalangan masyarakat.

Anugerah itu diberikan sempena Muktamar Tahunan DPPM kali ke-61 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) dekat sini, hari ini.

- Advertisement -

Anugerah Khas Dewan Pemuda PAS Malaysia diberikan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah berdasarkan beberapa kriteria.

Antaranya telah mendapat Anugerah Dewan Pemuda PAS Negeri terbaik, pemerkasaan DHPP, pertambahan pengundi muda dan pertambahan keahlian.

Turut mendapat anugerah ialah allahyarham Dr Yaakob Yusof yang dianugerahkan Tokoh Pendidik dan Tarbiah.

Allahyarham terlibat secara khusus sebagai pengasas Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiah (Ilam) di bawah Lajnah Tarbiah PAS Pusat.

Anugerah turut diberikan kepada Hilmi Ismail yang merupakan pengasas dan Pengarah Urusan Brainy Bones Studio Sdn Bhd.

Beliau pernah memenangi Anugerah Best Short Animation Award melalui animasi Kring di Fourt Festival International Du Film Sur Les Handicap 2020 yang telah berlangsung di Lyon, Paris.

DPPM turut menyampaikan Anugerah Khas kepada Luqman Hakim Samsudin yang telah mencipta nama dalam bidang sukan bola sepak di peringkat antarabangsa.

Anak kelahiran Kota Bharu Kelantan itu pernah mendapat Anugerah Kasut Emas AFC 2018.

Sementara itu, Mr Kokom turut mendapat anugerah berikutan mempunyai pencapaian terbaik dalam penghasilan video viral yang cukup berkualiti dan berhikmah.

Semua anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-61. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -