Di antara ‘friendly match’ dan ketaatan

- Advertisement -

PAS ini pelik. Dirasa pelik oleh pendukung dan penyokongnya dan dirasa pelik oleh pembenci dan musuh politiknya. Mana tak pelik. PAS bentuk Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan setiap PRK selepas pembentukannya PAS tidak bertanding. PAS bentuk Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU dan parti-parti di Sabah dan selepas pembentukannya, PAS sendiri tidak bertanding untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

Mana tak pelik. Dalam keadaan seluruh ahli di setiap peringkat sedang bersemangat berkobar-kobar untuk menghadapi PRN Sabah, tiba-tiba diumumkan tiada peruntukan kerusi kepada dirinya, maka sebahagian mencadangkan friendly match dan sebahagian mencadangkan keluar sahaja dari MN dan PN. Namun apabila kenyataan rasmi pimpinan utama disebarkan, kesemua mereka akur tanpa bantahan. 

Inilah PAS. Rakan akan kagum dengan disiplin ahli dan kepatuhan kepada arahan organisasinya. Sementara musuh politiknya akan terus menyanyikan lagu ketaksuban, walaun membabi buta dan yang seumpamanya.

- Advertisement -

Ada ahli PAS kisah? Tidak. Mereka tidak kisah kalau dipuji dan mereka juga tidak kisah kalau dikeji. Yang penting kepada ahli PAS semua tindakan mereka adalah ibadah. Memasuki pilihan raya adalah ibadah. Ketaatan kepada kepimpinan adalah ibadah. Bekerja untuk Islam adalah ibadah. Semuanya di bawah kerangka ibadah. Selagi keputusan pemimpin tidak membawa kepada kemaksiatan maka selagi itu ia perlu dipatuhi. Dan kepatuhannya adalah ibadah.

Maka akhirnya, sekiranya terpaksa memilih di antara friendly match yang akan menyebabkan kecederaan dan kepenatan dengan ketaatan kepada kepimpinan, insya-Allah ahli PAS akan memilih yang kedua. Dan perjalanan politik dan dakwah PAS masih tetap jauh dan terus berliku-liku. Namun mereka akan terus bersabar kerana kesabaran dalam dakwah dan perjuangan itu juga adalah ibadah.

Bagi para pembenci PAS, anda berhak untuk tidak bersetuju.

DR MOHD MAZRI YAHYA
Ahli Jawatankuasa Kerja
 PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -