Mansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menggesa kerajaan untuk memansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular yang dilihat tidak memupuk perpaduan.

Pengarah Ameerah Negeri Melaka, Hazirah Isa berkata, hanya sekolah satu aliran sahaja yang dapat mendidik dan memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi seterusnya yang bakal mewarisi negara ini.

- Advertisement -

“DMPM seharusnya konsisten dalam mempertahankan pendirian terhadap isu ini. Kita tidak mahu apabila terlibat kesepakatan Perikatan Nasional, kita dilihat tunduk kepada isu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-60 di Hotel Premiera Menara MARA Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru muslimat PAS untuk melahirkan lebih ramai lagi tenaga pakar dalam pelbagai bidang.

Katanya, keberadaan tenaga pakar PAS dalam kerajaan merupakan satu keseimbangan dalam pentadbiran negara.

Justeru ujarnya, tenaga pakar perlu lahir daripada kalangan muslimat PAS dengan melibatkan diri dalam bidang kesarjanaan agar muslimat sentiasa kehadapan dalam mengemudi dan mendominasi golongan wanita di negara ini.

Katanya, Ahli Jawatankuasa (AJK) Ameerah Malaysia misalnya, mereka dianggotai oleh amilin muslimat muda yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana .

“Antaranya lima daripadanya merupakan calon ijazah kedoktoran, tiga calon ijazah sarjana. Meskipun bergelumang dengan gerak kerja parti, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk menuntut ilmu,” ujarnya.

Di samping itu, Hazirah berkata, muslimat juga perlu dipersiapkan dengan pelbagai kemahiran berasaskan teknologi agar dapat berfungsi dengan baik di tengah-tengah masyarakat.

“Ko-kurikulum perlu dibentuk selaras dengan hasrat tersebut bagi melahirkan muslimat teknologi.

“Dengan ilmu kita boleh mengalahkan musuh. Dengan ilmu kita boleh memuliakan Islam. Dengan ilmu kita mengisi kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -