Tender terbuka atasi masalah air di Raub

- Advertisement -

KUANTAN: Tender berkaitan kerja-kerja untuk mengatasi masalah bekalan air yang keruh di daerah Raub, kira-kira 200 km dari sini, dijadual akan dibuka hujung bulan ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tempoh penyiapan kerja melibatkan tiga buah loji rawatan air (LRA) di daerah itu dengan peruntukan RM18 juta, ialah 15 bulan. 

Beliau berkata skop projek ini merangkumi pelantikan jurutera perunding, kerja ukur dan penyiasatan tanah, manakala skop utamanya ialah membina tangki pra-enapan, penggantian pam dan peralatan elektrik.

- Advertisement -

“Reka bentuknya akan mengambil kira kekeruhan air mentah hingga setinggi 20,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam. 

Menurutnya perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari kepada pentadbiran negeri, semalam. 
 
Wan Rosdy berkata beliau berharap apabila siap kelak projek itu dapat membantu mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah berkenaan, yang berlaku apabila LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau terpaksa menghentikan sementara operasi kerana kekeruhan sumber air mentah terlalu tinggi. 

Keadaan itu menyebabkan air berkenaan tidak sesuai diproses kerana tidak mencapai kualiti air yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

April lepas Wan Rosdy mengumumkan peruntukan RM18 juta bagi membantu penduduk Raub mengatasi masalah bekalan air yang telah dialami sejak beberapa tahun. – BERNAMA 

- Advertisement -