Pencemaran Sungai Ichat pulih, air kini selamat

- Advertisement -

CAMERON HIGHLANDS: Sungai Ichat di Kuala Terla di sini yang sebelum ini tercemar akibat pencerobohan dan penerokaan tanah secara haram, telah berjaya dibersihkan dan selamat untuk kegunaan harian.

- Advertisement -

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata air Sungai Ichat yang merupakan satu daripada sumber air bagi Loji Air Kuala Terla selain Sungai Terla, kini mencapai tahap 1 dan boleh terus diminum. 

“Pencemaran dan pencerobohan sebelum ini telah menjejaskan aliran di Sungai Ichat yang boleh timbulkan pelbagai masalah, tidak boleh digunakan. Ketika itu ia di tahap 5, hari ini di tahap 1 dan ia adalah satu kejayaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Sungai Ichat dan Sungai Terla di Kuala Terla di sini, semalam.

Dalam lawatannya itu, Wan Rosdy turut minum secara terus air dari kedua-dua sungai bagi membuktikan air kini bersih dan selamat selain menanam anak pokok Damar Minyak.

Wan Rosdy berkata dua siri tindakan penguatkuasaan iaitu Ops Lestari 1 dan Ops Lestari 2, masing-masing pada tahun lalu, telah dijalankan di Hutan Simpan Sungai Ichat yang diwartakan pada Mac 2019 bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla dan kepentingan rakyat terpelihara.
 
Katanya, menerusi operasi yang dijalankan masing-masing pada Februari dan Disember 2019 itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menanam 17,615 pokok pelbagai spesies antaranya ‘Cupressus’, Meranti Bukit dan Merawan Siput Jantan, Rhu, Damar Minyak dan Gerok melibatkan kawasan seluas 25.75 hektar.

“Tujuan utama tindakan ini adalah untuk mengembalikan semula kehijauan kawasan ini serta memulihkan semula Sungai Ichat yang merupakan sumber air Loji Rawatan Air Kuala Terla selain mengelakkan pekebun terbabit melakukan semula aktiviti mereka,” katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata tiga aktiviti Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam telah dilaksanakan dengan kejasama badan bukan kerajaan dan universiti tempatan yang menyaksi kawasan seluas 12.25 hektar dipulihkan melalui penanaman sebanyak 11,200 pelbagai spesies anak pokok.

“Sehingga kini, seluas 38 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat telah dipulihkan melalui penanaman sebanyak 28,815 anak pokok. Baki kawasan yang belum ditanam akan ditanam secara kontrak,” katanya sambil menegaskan JPNP akan melakukan pemantauan secara berkala di kawasan tumpuan yang dipulihkan itu bagi mengelak ia diteroka secara haram.

Sementara itu, kolam takungan Sungai Ichat dijangka beroperasi dua bulan lagi dan apabila siap kelak ia mampu meningkatkan kapasiti loji takungan Kuala Terla yang menyumbang 70 peratus kegunaan air penduduk Cameron Highlands. 

Pencemaran Sungai Ichat turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram pada 7 Sept 2019 dan bertitah agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di itu. – BERNAMA

- Advertisement -