DPPNS pertikai keputusan Kerajaan Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri Selangor memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada semua kilang haram di negeri itu untuk melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.

Ketuanya, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata keputusan tersebut jelas tidak menunjukkan keseriusan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, malah lebih mengutamakan kebajikan pihak kilang sekali pun telah menyebabkan pencemaran air.

- Advertisement -

“Masakan tidak, rakyat bersusah payah selama beberapa hari, malah ada kalangan peniaga yang juga terjejas ekoran gangguan bekalan air.

“Namun, kilang haram yang menjadi punca pencemaran tetap mendapat ‘menikmati tempoh pemutihan’ sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terlebih dahulu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dilaporkan memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata sudah 12 tahun sejak 2008 kilang haram yang menjadi punca pencemaran sungai baru-baru ini diberikan tawaran kepada pemilik tanah dan kilang berkenaan untuk menjalankan proses pemutihan, walhal telah menjadi penyebab kepada pencemaran yang membebankan rakyat.

“Kerajaan negeri sepatutnya ambil pengajaran, bukan terus ‘membelai’ pihak kilang haram, sedangkan penjaja kecil yang menjadi isu baru-baru ini ‘diranapkan’ terus gerai mereka,” ujarnya.

Beliau menzahirkan kekesalan terhadap keputusan itu kerana langsung tidak menunjukkan imej kerajaan negeri yang menjaga kebajikan rakyat.

Malahan, isu pencemaran sungai yang mengakibatkan gangguan bekalan air hanya dipandang enteng sahaja, walhal ini bukan gangguan kali pertama yang terjadi ekoran berpunca dari pencemaran.- HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -