Muslimat beri perhatian serius isu rumah tangga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena yang berlaku berkaitan isu rumah tangga seperti keganasan, perceraian, sehingga membawa kepada pembunuhan isteri.

- Advertisement -

Menurutnya, kemelut rumah tangga kelihatan semakin bertambah kritikal dengan peningkatan kadar perceraian bukan sahaja dalam kalangan pasangan yang baharu berkahwin, tetapi turut melibatkan pasangan pada usia matang atau dalam kalangan warga emas.

Perkara tersebut disuarakannya dalam Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-60 di Hotel Premiera, Menara MARA, di sini sebentar tadi.

“Isu keganasan terhadap wanita yang meliputi penderaan dalam rumahtangga dan kes rogol serta pencabulan masih berleluasa di Malaysia. Di samping itu, terdapat kes-kes gangguan seksual di tempat kerja yang perlu ditangani dengan terhormat dan secara bijaksana.

“Muslimat PAS perlu memahami isu-isu ini serta prihatin dan mendekati mangsa keganasan, seterusnya memainkan peranan penting dalam membela nasib golongan ini yang tidak mengenal agama dan bangsa,” ujarnya.

Beliau turut berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu proaktif dalam membantu kaum wanita dan keluarga bagi menghadapi pelbagai cabaran dewasa ini.

Juga beliau mengharapkan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Mahkamah Syariah dapat meningkatkan usaha pembangunan jati diri pasangan suami isteri dan ibu bapa dengan memperkasakan lagi modul kursus pra-perkahwinan.

“(Juga) membangunkan modul kursus pasca perkahwinan dan modul kursus anak soleh untuk membantu pasangan dan ahli keluarga supaya menginsafi amanah yang diberikan sehingga terbentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah.

“Selain itu, masih ada kes-kes ketidaksamarataan peluang, gaji dan faedah perkhidmatan antara kakitangan lelaki dan wanita di sektor awam. Salah satu usaha yang telah dijalankan oleh KPWKM ialah dengan mewujudkan Undang-Undang Kesamarataan Gender.

“Muslimat PAS melihat isu ini sangat sensitif dan perlu ditangani selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta fungsi lelaki dan wanita dari segi fitrah,” ujarnya.

Ustazah Nuridah turut menyuarakan harapan agar isu penderaan kanak-kanak yang tidak berdosa dapat dihindari dan mampu memberikan ketenangan dan kesejahteraan kepada ibu bapa bekerja untuk menyara hidup sekeluarga.

Muslimat PAS katanya, komited dalam bidang pendidikan menerusi usaha membangunkan pendidikan khusus kepada golongan wanita bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak dengan penubuhan TASTI.

Terangnya, kewujudan TASTI adalah satu keperluan walau di mana sahaja kedapatan ibu-ibu yang bekerja dengan menjalinkan kerjasama dengan seluruh kementerian, jabatan-jabatan dan institusi-institusi swasta.

“TASTI sedang mengorak langkah membina modul pendidikan fitrah bagi melatih para pengasuh dan memberikan asuhan kepada kanak-kanak yang diberikan kepercayaan penjagaan oleh ibu bapa semasa waktu bekerja,” ujar beliau menjelaskan usaha pihaknya. – HARAKAHDAILY 11/9/2020

- Advertisement -