Tuntutan Filipina atas Sabah dibahas Dewan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara semalam membahaskan usul tergempar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah yang dikemukakan oleh Senator Adrian Lasimbang di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1).

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim membenarkannya dan perbahasan bermula 4:30 petang mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) dengan pihak pencadang dibenarkan berbahas selama 30 minit dan diikuti pihak kerajaan kerajaan menjawabnya dalam masa 30 minit.

Turut mengambil bahagian dalam perbahasan isu itu ialah Senator Datuk Paul Igai, Senator Alan Ling Sie Kiong, Senator Raj Munni Sabu dan Senator Liew Chin Tong.

- Advertisement -

Terdahulu, dalam pemberitahuan bersurat, Adrian Lasimbang mohon persidangan ditangguhkan mengikut peraturan mesyuarat 17 (1) bagi membahaskan berkenaan tuntutan Filipina terhadap Sabah melalui pengeluaran peta yang menyatakan bahawa negeri itu merupakan sebahagian Wilayah Filipina.

“Ini adalah satu tindakan provokatif yang menggugat dan mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia dan Sabah yang berada dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
 
Menurut beliau, usul berkenaan merupakan perkara yang mustahak bagi kedaulatan negara dan satu pelanggaran terhadap kerjasama serantau melalui ASEAN serta melanggar undang-undang perjanjian di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Oleh itu usul itu perlu disegerakan kerana sebarang tindakan yang mempersoal kedaulatan Malaysia adalah satu isu keselamatan yang tidak boleh diambil ringan.

Dalam sesi perbahasan usul itu, Adrian berkata isu tuntutan Sabah oleh negara itu bukan perkara baharu namun perkara tersebut ditimbulkan semula pada 20 Ogos lepas setelah Dewan Perwakilan Filipina mengesyorkan peta Sabah dipamerkan dalam pasport negara itu sebagai sebahagian negara berkenaan.

“Perkara ini membawa implikasi sangat besar, sungguh ia hanyalah peta tetapi dari segi perbuatan ia merupakan satu pengkhianatan dan tidak harus dikompromi,” katanya.

Beliau turut meminta satu kajian sejarah Sabah dilakukan secara terperinci bagi memastikan kerajaan mempunyai fakta dan dokumen lengkap untuk menangkis tuntutan yang dilakukan oleh negara itu.
 
Adrian menyarankan kerajaan supaya menyalurkan satu peruntukan khas kepada Universiti Malaysia Sabah bagi membolehkan kajian itu dilakukan.

Selain itu beliau turut meminta kerajaan agar tidak mengiktiraf pasport Filipina yang memaparkan peta Sabah dan menghalang mereka yang menggunakan dokumen itu daripada memasuki negara ini.

Semasa menjawab isu tersebut, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata Sabah merupakan hak Malaysia dan ia telah dibuktikan sejak sekian lama menerusi perjanjian Cobbold selain hak itu diiktiraf PBB.

Beliau berkata oleh itu tidak relevan sekiranya ada mana-mana pihak asing termasuk Filipina menuntut hak ke atas Sabah.

“Isu tuntutan ini adalah tidak  berasas dan tidak relevan kerana Sabah merupakan hak Malaysia berdasarkan fakta sejarah-sejarah lalu.

“Mengikut sejarah rakyat Sabah sendiri telah menentukan hak mereka supaya Sabah berada dalam Malaysia dan perjanjian Cobbold telah mengesahkan aspirasi rakyat Sabah menjadi sebahagian Malaysia,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -