PRN Sabah: Penting untuk rakyat pilih PN

Jamin tadbir urus, pembangunan, keselamatan dan keamanan negeri

- Advertisement -

TAWAU: Jaminan tadbir urus dan pembangunan, serta keselamatan dan keamanan negeri Sabah menuntut ia diterajui kerajaan yang bersama-sama dengan pemerintah Persekutuan di mana ketika ini dipimpin Perikatan Nasional.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling dengan itu menyeru rakyat negeri ini membuat pertimbangan tepat untuk memilih kerajaan pada PRN Sabah yang bakal melangsungkan pengundian pada 22 dan 26 September ini nanti.

Beliau menyeru rakyat untuk bersama mengundi parti-parti Perikatan Nasional ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Perdana bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin Hassan di Hotel Royale Borneo, di sini semalam.

- Advertisement -

Menurut Aminuddin pada ucapannya itu, akan wujud kesukaran untuk menyelesaikan beberapa perkara jika sekiranya pihak kerajaan negeri tidak selari dengan pemerintah yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut menafikan tohmahan pemimpin politik pembangkang yang cuba menghasut rakyat Sabah dengan sentimen pemisahan Sabah dan Semenanjung, sedang hakikatnya PAS Sabah dipimpin oleh anak tempatan.

“PAS di negeri ini, sudah bertapak lebih 34 tahun. Bahkan, kita mempunyai banyak Cawangan-cawangan yang aktif. Di saat kita menjadi pembangkang, PAS Sabah juga sudah banyak menyediakan kebaikan kepada rakyat sama ada dalam pelbagai sektor,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid serta Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Ahmad Dullah dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husin. – HARAKAHDAILY 8/9/2020

- Advertisement -