SendParcel platform digital Pos Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia optimis dapat mencapai sasaran penghantaran 2 juta bungkusan sebulan, melalui platform digitalnya, SendParcel menjelang 2021.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Syed Md Najib Syed Md Noor berkata Pos Laju SendParcel dilancarkan lebih setahun lalu seiring dengan perubahan trend pembelian pelanggan iaitu daripada mengunjungi kedai runcit,  kepada membeli barangan secara dalam talian.

“Perniagaan kurier kami adalah segmen utama yang menjana pendapatan berterusan buat Malaysia tetapi masalahnya, kami masih menjalankan perniagaan secara konvensional dengan pelanggan perlu berkunjung ke premis Pos Laju kami.

“Sedangkan perniagaan sebegini telah pun dijalankan secara dalam talian dan memerlukan pusingan balik yang pantas daripada pelanggan,” katanya.

Jumlah pengguna berdaftar telah mencecah lebih 86,000 pelanggan dalam tempoh setahun dan sejak Oktober 2019 hingga Julai 2020, SendParcel Pos Laju, berjaya menghantar lebih 3.3 juta bungkusan secara keseluruhan dan menjana hasil sebanyak RM21.7 juta.

Pos Malaysia berhasrat memperoleh keuntungan sebanyak RM30 juta pada akhir tahun ini.

Kewujudan platform penghantaran dalam talian sememangnya adalah tepat pada masanya kerana Pos Malaysia tidak mampu untuk bertahan dalam perniagaan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.
 
Katanya, ketika tempoh berkenaan terdapat peningkatan ketara pembelian dalam talian dan Pos Laju SendParcel menyediakan platform yang tepat untuk menghantar pembelian pelanggan terus ke muka pintu rumah mereka.

Melihat kepada, situasi berkenaan, Syed Md Najib berkata Pos Malaysia berusaha melonjakkan rancangan digitalisasi dan transformasi syarikat bagi menarik lebih ramai pelanggan dengan menceburi pasaran e-dagang yang sedang berkembang sambil memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa berubah.

“Memanfaatkan inovasi digital juga merupakan satu-satunya pendekatan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.

“Penggunaan teknologi yang pesat telah mencetuskan cabaran baharu kepada perniagaan kami dan Pos Malaysia sedar bahawa kami harus menyesuaikan diri dengan proses digitalisasi, untuk terus kekal relevan dalam industri serta memenuhi perubahan dalam kehendak pelanggan kami,” tambahnya.

Serentak dengan itu, Pos Malaysia menyaksikan penglibatan pemain global disamping suntikan dana dan kemampuan teknologi yang besar.
 
Oleh demikian, katanya, ia ibarat perlumbaan masa untuk pasukan Pos Malaysia dalam menghadapi cabaran untuk menjadikan platform digital yang mantap ke dalam pasaran.

“Kami sedar bahawa kami perlu bertindak pantas untuk mengelak menjadi tidak relevan dalam industri ini. Tekanan sangat tinggi, tetapi kami yakin bahawa pasukan kami berupaya mencipta platform digital yang dapat bersaing dan cemerlang dalam pasaran,” katanya.

Maka, Pos Laju SendParcel diperkenalkan pada Ogos 2019 yang memberikan kemudahan kepada pelanggan, khususnya peniaga dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Selain akses 24 jam dan perkhidmatan penghantaran yang cepat, pelanggan juga ditawarkan kadar harga terbaik, sebut harga segera, perkhidmatan pengambilan percuma, nota konsainan secara automatik yang memudahkan laporan penghantaran dan proses penjejakan pesanan.

Pada Januari 2020, Pos Malaysia memperluas perkhidmatan dengan menawarkan penghantaran antarabangsa ke lebih 200 negara seluruh dunia, sekali gus menghubungkan IKS tempatan dan perniagaan e-dagang dengan pasaran luar negara.
 
“Dengan meningkatkan jangkauan kami di peringkat antarabangsa melalui Pos Laju SendParcel, perniagaan rakyat Malaysia dapat berhubungan dengan pelanggan antarabangsa serta dapat memperluas perniagaan mereka ke seluruh dunia, sambil menikmati harga yang berpatutan.

“Kami tetap komited untuk memberikan lebih banyak kemudahan dan membuka sempadan serta peluang baharu kepada pelanggan,” kata Syed Md Najib.

Mengenai penawaran perkhidmatan PosLaju SendParcel, beliau berkata Pos Malaysia menyasar meningkatkan perkhidmatannya lebih jauh melalui maklum balas berterusan pengguna untuk memastikan Pos Malaysia terus menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.

Untuk melengkapkan perkhidmatan Pos Laju SendParcel, Pos Malaysia turut memperkenalkan automasi dan peningkatan digital lain demi memastikan penghantaran yang selamat dan tepat pada masanya.

Sehingga kini, Pos Malaysia mempunyai 28 pusat pengedaran dilengkapi dengan sistem pengasingan separa automatik yang dapat mengurangkan beban kerja secara manual serta melancarkan kecekapan aliran tugas secara keseluruhannya.

Pos Malaysia akan mewujudkan empat pusat pengedaran tambahan dengan sistem pengasingan separa automatik, hujung tahun ini.

Pos Malaysia telah melihat manfaat langsung dari kapasiti dan kelajuan pemprosesan dan perkhidmatan syarikat itu yang dapat memproses lebih 60 peratus lagi bungkusan sekali gus berupaya mengurangkan waktu pemprosesan antara satu hingga dua jam sehari.

Ini sekali gus memungkinkan syarikat berada pada landasan tepat untuk memproses kira-kira satu juta bungkusan setiap hari, menjelang hujung tahun 2021.

“Kami akan meneruskan pelaburan melampaui jangkauan pelanggan melalui platform digital yang mantap dan terukur,” kata Syed Md Najib. – BERNAMA

- Advertisement -