SPAN akan bertindak tegas – Pengerusi

Ustaz Wan Hassan (tengah) melawat rumah mangsa kebakaran di Dungun, hari ini. - Foto KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
- Advertisement -

KUALA NERUS: Pencemaran air mentah di Sungai Gong, Rawang, Selangor tidak sepatutnya berlaku jika rakyat di negara ini mengambil sikap menjaga alam sekitar.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli melahirkan rasa dukacita dan kecewa, dengan sikap tidak bertanggungjawab pemilik kilang di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

- Advertisement -

Katanya, tindakan pemilik kilang itu menyebabkan lima juta pengguna air terjejas apabila empat Loji Rawatan Air terpaksa dihentikan sementara.

“Ini sangat tidak bertanggungjawab dan jika benar siasatan berpunca dari pemilik kilang yang menyebabkan pencemaran sumber air, tindakan tegas akan dikenakan.

“SPAN akan mengambil tindakan tegas kepada pencemar sumber air mentah yang berlaku di Sungai Gong.

“Kita akan pertimbangkan untuk mengguna pakai Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau maksimum 10 tahun penjara atau hukuman sebat atau ketiga-tiganya sekali,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, Kuala Nerus, semalam.

Menurut Ustaz Wan Hassan, pihak SPAN sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun menjelaskan, Akta 655 itu membolehkan SPAN mempunyai hak menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak atau individu yang melakukan kesalahan tersebut.

“Kesalahan berkaitan pembekalan air terawat dan perkhidmatan pembentungan, termasuk isu pencemaran ke atas sumber air mentah negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, pada 5 September lalu empat pengurus kilang terbabit direman enam hari bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat, dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Kes tersebut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ra’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut berdukacita dan mahukan pesalahnya dikenakan hukuman tegas dan lebih berat. – HARAKAHDAILY 8/9/2020

- Advertisement -