HEP Bakun dan mitigasi banjir

- Advertisement -

KUCHING: Loji Hidroelektrik (HEP) Bakun memainkan peranan penting dalam mitigasi banjir dari hilir Sungai Rejang dengan mengseimbangkan kawasan tadahan air di hulu dan paras air di hilir, terutamanya semasa musim hujan lebat.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataan hari ini berkata sejak HEP Bakun siap, banjir dan impaknya di kawasan hilir telah dapat dikurangkan berikutan empangan itu mampu menampung sejumlah besar air hujan sepanjang tahun.

Katanya kejadian banjir yang berlaku ketika ini yang telah menjejaskan kawasan hilir termasuk Kanowit dan Sibu disebabkan oleh gabungan hujan lebat luar musim dan air pasang besar dan bukannya disebabkan pelepasan air berjadual dari HEP Bakun seperti dispekulasi.

- Advertisement -

Operasi pelepasan air secara terkawal dari kawasan HEP Bakun sebelum ini dilakukan pada 9 Ogos dan tamat pada 22 Ogos.

Sejak itu, tiada operasi pelepasan air secara terkawal dari HEP Bakun kecuali bagi penjanaan pelepasan biasa.

Menurut kenyataan itu, SEB mempunyai pasukan khas yang memantau paras air di kawasan tadahan dan hilir sungai setiap hari dan akan memberikan nasihat jika terdapat keperluan bagi pelepasan air secara terkawal selepas merundingi dan mendapat kebenaran daripada Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak. – BERNAMA

- Advertisement -