Pasukan khas polis siasat isu Sungai Gong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pasukan tersebut ditubuhkan semalam selepas pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian tersebut.

“Pasukan ini disertai pegawai dan anggota polis bersama pihak berkaitan antaranya Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kerana mereka pakar dalam bidang ini,” katanya kepada Bernama.

- Advertisement -

Jelasnya, pemilik kilang serta pihak yang disyaki terbabit dengan kejadian berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada kilang berkenaan beroperasi secara haram atau sebaliknya, Noor Azam berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.
 
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak semalam telah disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula semalam selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

Tujuh wilayah tersebut ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang atau Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – BERNAMA

- Advertisement -