KASA sedia bincang atasi isu air Selangor

KUALA SELANGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedia berbincang dengan kerajaan Selangor untuk memindahkan premis industri berhampiran punca sumber air di negeri itu ke kawasan yang lebih bersesuaian. 

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata kesediaan pihaknya bertujuan bagi mencari penyelesaian terhadap isu pencemaran di kawasan sungai yang merupakan sumber bekalan air kepada pengguna.

“Untuk memindahkan kilang berdekatan dengan punca sumber air adalah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor. Namun, apa yang kita nak buat dalam masa terdekat ini adalah menyediakan pindaan bagi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk dibentangkan ke Parlimen pada sidang akan datang.

Advertisement

“Kita juga mahu pastikan mana-mana pihak yang mencemarkan sungai termasuk sehingga menyebabkan loji rawatan air (LRA) ditutup dikenakan denda yang lebih tinggi dan dihukum dengan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi sumber air mentah yang tercemar di LRA Sungai Selangor Fasa 1 di sini, semalam.

Semalam, LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya ekoran pencemaran bau dikesan di muka sauk loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. 
 
Dalam pada itu, Zaini berkata susulan insiden pencemaran bau tersebut, sebuah kilang di Rawang telah disita semalam dan digantung operasi selama dua minggu kerana disyaki mencemarkan Sungai Gong iaitu salah satu sungai yang menyumbang kepada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Katanya, jika bahan cemar di Sungai Gong dapat disahkan, tindakan akan diambil terhadap premis terlibat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Kerja-kerja pembersihan tapak yang mengandungi bahan cemar juga sedang dilakukan untuk memastikan tiada bahan pencemaran masih bertompok pada tebing sungai dan aliran sungai. Kos kerja-kerja itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyebabkan pencemaran,” katanya.

Mengulas mengenai anggaran tempoh masa untuk keempat-empat LRA berkenaan beroperasi semula, beliau berkata sekiranya hujan lebat berlaku petang ini dan kadar bacaan pencemaran bau kurang daripada satu ton, kemungkinan loji tersebut boleh memulakan ‘tugasnya’ seperti biasa.

Zaini berkata pencemaran bau itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual terhadap lima juta akaun pengguna Air Selangor dan pegawai pendakwa setiap agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk membuka kertas siasatan.

Jelasnya, tindakan seumpama itu pertama kali dilakukan kementerian bagi menunjukkan bahawa isu pencemaran air tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak dan supaya ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan. – BERNAMA