Persatuan Nelayan Pulau Pinang tolak PSR

GEORGE TOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) semalam mengulangi pendirian mereka, yang menolak projek mega tambakan laut di perairan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Pen Mutiara Mahadi Md Rodzi berkata, prinsip komuniti nelayan masih tidak berubah, iaitu menolak projek mega tersebut.

“Kami mahu menegaskan bahawa komuniti nelayan masih lagi menolak projek tersebut, kerana kami faham akan kesemua impak negatif yang terhasil daripada projek mega,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Advertisement

Mahadi turut mendakwa yang kerajaan negeri telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan, seperti mengatakan yang komuniti nelayan menerima baik projek tersebut.

Bagaimanapun berkaitan dengan isu pampasan Mahadi berkata, satu bengkel yang diadakan hari ini bagi membincangkan mengenai pampasan kepada nelayan, merupakan suatu yang tidak adil dan perbincangan yang berat sebelah, kerana tidak melibatkan persatuan nelayan Pulau Pinang yang merupakan pihak berkepentingan dalam projek tersebut.
 
Katanya, komuniti nelayan adalah komuniti yang akan terkesan secara terus dengan projek tersebut, namun perjumpaan itu hanya melibatkan agensi kerajaan dan tidak melibatkan Pen Mutiara.

“Tidak seorang pemimpin nelayan pun yang dijemput pada mesyuarat 4 September, untuk membincangkan masa depan golongan nelayan, tindakan ini seperti menafikan kewujudan Persatuan Nelayan Pulau Pinang yang ditubuhkan mengikut Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44),” katanya.

Mahadi berkata, kesemua cadangan atau perbincangan berkaitan pampasan perlu melibatkan Pen Mutiara melalui peguamnya dan bukannya datang dari Pasukan Petugas atau syarikat Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB), menerusi bengkel ataupun mesyuarat.

Beliau berkata, PICSB ditubukan pada 9 Julai tahun ini, tetapi Persatuan Nelayan Pulau Pinang telah menolak projek ini, sejak 2015.

Di bawah projek PSR, kerajaan negeri mencadangkan projek pembangunan menebus guna kawasan laut seluas 1,821 hektar, termasuk pembinaan tiga pulau buatan di kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hingga ke perairan Permatang Damar Laut.

Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 billion itu, turut melibatkan pembinaan terowong bawah laut yang menghubungkan pulau dan juga tanah besar, lebuh raya, LRT, monorail dan jaringan bas menyeluruh, antara bahagian pulau dan Seberang Perai. – BERNAMA