Keluarga hilang tonggak kehidupan perlu dibantu

PAYA BESAR: ‘Sudah jatuh, di timpa tangga’, begitulah ibarat dapat digambarkan tatkala suami menjadi tonggak kehidupan pergi meninggalkan isteri yang sedang sakit dan anak-anak pula masih kecil bagi satu keluarga di Chendering, di sini.

Advertisement

Johari Phua Abdullah, 46 kembali ke rahmatullah disebabkan pendarahan dalam otak, di mana empat anak masih bersekolah berumur antara 8 ke 16 tahun dan isteri pula Azliza Mohd Saad, 49 sudah tujuh tahun menghidap kanser.

Allahyarham yang berasal dari Kemaman dan berbangsa Cina memeluk agama Islam ketika berusia 27 tahun telah menghembus nafas terakhir malam tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA) dan jenazah dikebumikan di Bukit Goh, di sini.

Terdahulu, ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya bersama isteri dan wakil pegawai Pusat Khidmat Masyarajat serta Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Chendering ada membuat ziarah dan memberi sumbangan kepada keluarga ini.

Kini, keluarga tersebut telah kehilangan tempat mereka bergantung selama ini, sedang Azlina perlu berulang-alik ke hospital bagi melakukan rawatan rutin di HTAA dalam keadaan anak-anak berkeperluan untuk ke sekolah.

Kediaman mereka duduk berteduh sekarang juga merupakan rumah sewa dengan bayaran RM280 sebulan, di mana Azlina tidak dapat membuat sebarang kerja dengan perutnya yang sakit itu dilihat semakin membesar.

Dermawan yang prihatin menghulurkan bantuan bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching 06010004266719 (Bank Muamalat) dengan rujukan ‘Johari Phua’ atau terus ke kediaman mereka di Lot 30353 Kampung Chendering, Kuantan. – HARAKAHDAILY 4/9/2020