Penuhi syarat untuk capai kemenangan – Siti Zailah

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Semua Jentera Pilihan Raya PAS perlu memantapkan organisasi, menyusun gerakerja secara sistematik, menguasai pelbagai medium penerangan dan mematuhi arahan kepimpinan bagi memastikan impian memenangi PRU15 menjadi kenyataan.

- Advertisement -

Selain itu, para petugas pilihan raya PAS perlu menjaga hubungan dengan Allah S.W.T iaitu melengkapkan ibadah wajib, memperbanyakkan amalan sunat serta menghidupkan malam dengan tahajjud dan qiamullail.

Demikian saranan yang disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff kepada peserta-peserta Ijtimak Pilihan Raya PAS Kawasan Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering, dekat sini kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menambah, realiti yang perlu difahami oleh petugas-petugas PAS ialah platform media sosial merupakan medan tempur yang perlu dikuasai.

Iaitu peringatnya, disamping melaksanakan tugas-tugas rutin dalam gerak kerja pilihan raya seperti daftar pemilih baru, culaan undi, ziarah, ceramah dan sebagainya.

“Gerakerja mesti dimulakan hari ini dengan membuka bilik operasi Unit Daerah Mengundi (UDM), melengkapkan data-data pengundi dan menghidupkan Cawangan-cawangan yang lemah.

“Walaupun PAS sudah menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan Pusat dan Negeri, ia bukan bermakna kita boleh bersenang-lenang dan mengambil mudah. Perjuangan kita masih panjang dan jauh kerana cita-cita untuk meletakkan Islam di mercu belum tercapai sepenuhnya.

“Kita sedang bersahabat dengan teman-teman baharu dan kita bertempur dengan bekas rakan-rakan kita. Justeru, patuhlah kepada arahan dan tindakan pimpinan kerana sebarang keputusan pimpinan telah dihalusi dengan sedalam-dalamnya serta meletakkan Islam sebagai pertimbangan utama,” katanya.

Ijtimak Pilihan Raya kali ini menghimpunkan petugas-petugas dari Dewan Pemuda, Muslimat, Ulamak Kawasan dan 59 Cawangan dari seluruh Bukit Gantang.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta Pengarah PilihanRaya PAS Perak, Mustafa Abdul Wahab dan Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -