Muslimat-Wanita Pandan sambut Merdeka, Hari Asyura

- Advertisement -

PANDAN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Pandan telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Mengacau Bubur Asyura bersama-sama Wanita Umno Bahagian Pandan di Pusat Tarbiah Pandan, di sini pagi semalam. 

- Advertisement -

Program bermula dengan tazkirah disampaikan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Pandan, Datin Ustazah Salasiah Zakaria ini menyerlahkan semangat Muafakat Nasional yang berjaya dilaksanakan dengan baik dan harmoni.

Program yang turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil Dewan Pemuda dan Ahli Jawatankuasa PAS Pandan ini juga telah berjaya merapatkan lagi ukhuwah dan mahabah antara semua komuniti yang hadir.

Menurut Pengarah Program, Siti Farah Mohamed, pendekatan yang diambil bagi mengisi Hari Kemerdekaan kali ini merupakan pendekatan istimewa kerana tarikh Hari Kebangsaan berbeza hanya dua hari dari tarikh Hari Asyura.

Kedua-dua tarikh penting ini katanya, dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah di dalam diri dan masyarakat dengan menghayati sejarah Hari Asyura, selain meningkatkan patriotik kepada negara melalui kemerdekaan.

Beliau juga menyeru agar semua masyarakat bersama-sama membina negara dan bangsa yang taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin serta menghayati Rukun Negara dan mengamalkannya di dalam kehidupan.

Edaran bubur asyura dilakukan dengan kerjasama Pemuda PAS Pandan kepada ahli-ahli PAS Cawangan terlibat selain mereka yang hadir di mana menjadi sebahagian usaha kebajikan dan mengerat hubungan bersama masyarakat sekeliling. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -