Jadi PM berkat sokongan Tuan Guru – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaik sahaja dibentuk terus berfungsi sebagai sebuah kerajaan di mana bekerja siang dan malam untuk membela rakyat, demikian menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Menurut beliau, Kerajaan PN tidak terbentuk dalam keadaan biasa, tetapi dari satu krisis yang julung kali melanda negara di mana ia tidak pernah berlaku sebelumnya dan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan secara mengejut.

Namun tegasnya, tiada bulan madu bagi Kerajaan PN, apatah lagi berhadapan pula satu cabaran besar dari krisis global yang juga tidak pernah berlaku sebelumnya untuk dijadikan rujukan iaitulah pandemik COVID-19.

Beliau berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

Akui Muhyiddin, beliau sendiri tidak pernah menjangka akan menjadi Perdana Menteri, bahkan tiada komplot atau suatu stigma politik luar biasa untuk mengambil alih atau menjatuhkan seseorang dari jawatan itu.

“Saya juga terpilih ialah kerana mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti BERSATU, PAS, Barisan Nasional, GPS, STAR, PBS, MCA, MIC. Kalau tak silap saya, hampir 12 parti.

“Dan antara yang paling awal sekali menyokong saya ialah Yang Berhormat Tuan Guru Haji Hadi Awang Ahli Parlimen Marang dan juga Presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Jadi saya nak ucap terima kasih di atas barakah sokongan beliau.

“Kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu yang semua kita tahu, rakan-rakan pimpinan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional hari ini telah mencadangkan nama saya sebagai Perdana Menteri.

“Kalau saudara ingat dijemput oleh Agong ke istana sign SD (Akuan Bersumpah), dan saya nak beritahu di sini ceritanya SD yang pertama yang dibuat ialah oleh Tuan Guru Haji Hadi sendiri,” ujarnya mengimbas detik itu.

Jelasnya, pelantikan beliau dan pembentukan kerajaan ini juga berlaku dengan ketentuan Allah S.W.T di mana setelah adanya dukungan dan sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat serta Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan perkara itu mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kata Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau sebagai seorang Muslim berpegang teguh sebagaimana disebut Rasulullah S.A.W bahawa kepimpinan ini adalah tanggungjawab dan beliau terima jawatan itu sebagai menggalas amanah besar di bahu.

Tambahnya, perkara itu juga ke atas Menteri dan Timbalan Menteri dilantiknya yang sedar sedang memikul amanah kepada rakyat sebaiknya dan pasti akan dipersoal kelak oleh Allah serta rakyat jelata di dunia.

Pun begitu katanya, untuk menilai pencapaian Kerajaan PN masih memerlukan kajian yang komprehensif kerana tempoh enam bulan masih sebagai percubaan dan kerajaan terbentuk tanpa manifesto, namun tidak bermakna akan berbuat sesuka hati.

Oleh itu kata beliau, tidak ada penanda aras untuk mengukur perkara itu, namun mengakui tidak bermakna beliau akan melakukan sewenang-wenang perkara, sebaliknya mahu mengambil sepenuh kebertanggungjawaban. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -