Muktamar Pemuda PAS bersiaga hadapi PRN Sabah

- Advertisement -

SANDAKAN: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Kali Ke-33 telah berlangsung penuh gemilang di sebalik prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Hotel Sandakan Style, di sini semalam.

- Advertisement -

Majlis melibatkan 100 perwakilan seluruh negeri ini termasuk secara atas talian telah dirasmikan oleh Setiausaha PAS Negeri Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan yang turut menyempurnakan pelancaran Tabung Dana Pilihan Raya Negeri Sabah sebagai simbolik perasmian.

Simbolik penyerahan dan gimik kutipan tabung dana PRN ini telah disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin yang turut menegaskan PRN ini bukan pertama kali bagi PAS, tetapi telah memasuki medan pilihan raya sejak PRU 1986 di Parlimen Kota Belud, Jambongan dan Kimanis.

“Pemuda PAS Sabah berjaya melakar sejarahnya sendiri dalam menyertai pilihan raya iaitu dengan menurunkan lima calon Pemuda untuk bertanding pada PRU14 yang lepas di Parlimen Putatan, DUN Usukan, DUN Kunak, DUN Kuamut dan DUN Bugaya.

“Kita optimis Pemuda PAS Sabah akan menyediakan kepimpinan calon Pemuda yang lebih ramai sebagai persiapan masa depan ke arah memastikan PAS dapat melahirkan DUN sulung yang menjadi kejayaan politik dinanti-nantikan selama ini oleh ahli parti sejak dari zaman 1986,” katanya lagi.

Majlis berkenaan juga menyampaikan Anugerah Tokoh Pemuda dan Anugerah Pemuda Ansarullah yang masing-masing disandang oleh Shamsul Rizal Zulfatmi dan Mohd Tarmizi Yahya serta Muhammad Syazwan Khamis.

Selain itu, anugerah lain yang diberikan kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) ialah Anugerah DPPK Unggul, Anugerah DPPK Harapan dan Anugerah Lajnah Terbaik yang masing-masing disandang oleh DPPK Sandakan, DPPK Papar dan Jabatan PASTI serta Jabatan Penerangan.

Penyerahan cek bernilai RM10,000 daripada NGO Iman Care melalui Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turut disempurnakan kepada Tabung Kebakaran PASTI Nurul Hanani, Kuhara, Tawau yang terlibat kebakaran baru-baru ini.

Muktamar yang berlangsung bermula pagi hingga petang itu diserikan dengan perbahasan dari para perwakilan bagi mencari titik penyelesaian untuk meningkatkan lagi prestasi serta menjadi medan muhasabah Pemuda PAS. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -