PAS perlu pertahan kerusi tradisi tanding PRN Sabah

- Advertisement -

SANDAKAN: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Kali Ke-33 telah meluluskan usul supaya PAS Sabah bertanding dan mempertahankan kerusi tradisi yang ditandingi di seluruh negeri itu pada PRN Sabah September ini.

- Advertisement -

Penegasan usul dibawa Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Sabah, Jumaidin Lakalla dan disokong padu sebulat suara oleh para perwakilan itu berlangsung di Hotel Sandakan Style, di sini semalam.

Tegas Jumaidin bahawa keputusan ini amat perlu setelah meneliti kedudukan PAS dalam permuafakatan politik bersama Kerajaan Perikatan Nasional dan gagasan Muafakat Nasional serta parti tempatan lain di negeri Sabah.

“Pemuda PAS Sabah membawa usul ini setelah mengambil kira pengalaman PAS sebagai antara parti senior negeri Sabah yang sudah bertanding setiap kali Pilihan Raya Umum dan Negeri sejak tahun 1986 lagi,” ujar beliau.

Usul politik tersebut turut dibahas Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain yang memberi antara justifikasi lain menyokong usul ini ialah melihat sokongan rakyat bawahan yang saban hari bertambah di seluruh negeri.

“Cawangan-cawangan PAS tumbuh hampir setiap hari contohnya di Tanjung Keramat ada lebih 20 cawangan baharu, di Sandakan hampir 25 cawangan baharu, di Batu Sapi 15 cawangan baharu dan di kawasan-kawasan lain seluruh negeri.

“Pemuda PAS turut melakar sejarahnya sendiri apabila dalam PRU lalu kita berjaya menurunkan lima calon anak muda tempatan untuk bertanding termasuk di Parlimen Putatan, DUN Usukan, DUN Kunak, DUN Kuamut dan DUN Bugaya,” hujahnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -