Merdeka dirai dengan kayuhan basikal si cilik

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Penduduk Balok Perdana telah memupuk semangat patriotik pewaris bangsa dalam kalangan anak-anak berusia 7 hingga 15 tahun menerusi Sambutan Kemerdekaan yang diadakan di pekarangan Surau As Syakirin, di sini hari ini.

- Advertisement -

Program Kayuhan Berbasikal Gemilang Merdeka yang dianjur dan digerakkan oleh penduduk setempat, NGO Majlis Kerjasama Rakyat Malaysia, Pusat Khidmat DUN  Beserah, Jawatankuasa Surau As Syakirin dan Rukun Tetangga Taman Balok Perdana.

Konvoi yang merealisasikan semangat Malaysia Prihatin ini telah
dilancarkan oleh Pengerusi NGO Majlis Kerjasama Rakyat Malaysia, Razak Ramli dengan didahului acara senamrobik dan laungan lagu Negaraku.

Sekitar 60 kanak-kanak diiringi oleh para petugas khas dari Taman Balok Perdana dan juga taman bersebelahan iaitu Taman Balok Makmur begitu bersemangat menyertai dan menghias basikal mereka dengan konsep Jalur Gemilang.

Mereka seterusnya dilepaskan dengan kayuhan melebihi 3 kilometer mengelilingi kedua-dua taman perumahan tersebut sebelum menerima saguhati disampaikan oleh Ketua PAS Cawangan Balok Perdana, Mohd Asri Mohd Nor bersama Pengerusi Surau As Syakirin, Norazam Urif.

Uniknya, penganjuran program dijayakan menerusi teknologi maklumat apabila hebahan hanya dilaksanakan di dalam WhatsApp Group komuniti masyarakat di sini sebagai medium perhubungan paling mudah dan bermanfaat.

Kemeriahan majlis juga apabila peserta mengerat hubungan di medium maya ini dengan perkongsian gambar dan video program bersama jurukamera yang dilantik, Ilyas Mustapha Mohamad.

Rata-rata penduduk sangat setuju dan penyokong agar acara seumpama ini diaktifkan dan menjadi acara tahunan penduduk taman walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah ditamatkan. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -