Sambutan Merdeka eratkan hubungan warga Tambun

- Advertisement -

TAMBUN: Kolaborasi antara ahli PAS Zon Klebang dan PAS Zon Meru telah memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di menerusi program edaran bendera Malaysia dan akhbar Harakah secara percuma di Petronas Bandar Meru Raya di sini, semalam.

- Advertisement -

Ketua PAS Zon Klebang, Ustaz Rosli Azizan ketika ditemui Harakahdaily berkata, program ini diusahakan sebagai langkah unik mendekati masyarakat setempat bagi memeriahkan suasana bulan kemerdekaan.

Program yang dirasmikan oleh Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi, Ustaz Hafez Sabri ini bertujuan menyuntik semangat patriotisme orang ramai yang berkunjung ke stesen minyak itu.

Menurut Ustaz Rosli, pengorbanan para pejuang tanah air wajar dihargai dengan mengekalkan kemakmuran negara Malaysia dari jajahan anasir luar yang datang secara terang-terangan mahupun tertutup.

“Orang dahulu berjuang dengan cara dahulu. Kita yang berada di zaman hasil pengorbanan mereka (ini) sewajarnya sentiasa berusaha mendalami erti kemerdekaan dengan baik. Bukan sahaja merdeka jasad, (malah) fikiran juga harus bebas daripada anasir jahat musuh,” jelas beliau.

Ujarnya yang juga merupakan guru Sejarah itu, kemakmuran negara Malaysia berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai agama, ras dan budaya hendaklah dikekalkan dengan mengamalkan konsep perpaduan kaum antara satu sama lain.

“Melayu, Cina dan India akan hidup harmoni dengan memupuk amalan hormat-menghormati. Amat besar nilainya jika amalan ini dikekalkan oleh rakyat Malaysia dan seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang,” jelas beliau.

Hadir sama dalam program itu, Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin dan Ketua Muslimat PAS Zon Klebang, Jamani Azizan dan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kawasan Tambun dan Ketua-ketua PAS Cawangan Zon Meru dan Klebang. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -