Belasungkawa buatmu adinda Ahmad

- Advertisement -

ALLAHYARHAM Ahmad Jihaduddin Bin Hassan, satu nama yang hebat seindah akhlak tuan empunya diri. Pemergian mu hari ini akan terus kekal dalam ingatan dan sanubari kami, ahli Yayasan Amal Malaysia.

Seawal pagi Allahyarham Ahmad sudah tiba bersama beberapa teman anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Ketereh untuk sama-sama bergotong royong di Lata Chenai, Sungai Terang Kampung Bukit Jering, Jeli. Ia satu aktiviti yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan dalam usaha memelihara dan memulihara alam semulajadi di negeri ini.

Dengan senyuman manis kepada semua yang hadir, Allahyarham kelihatan lekas turun dari pacuan empat roda setibanya di Lata Chenai. Segak berbaju T Amal dan berseluar taktikal, beliau menghayun parang menebas semak samun dan pepohon buluh yang tumbuh di sepanjang jalan menuju ke tapak program.

- Advertisement -

Pok Mid selaku Pengerusi Yayasan Amal Kelantan sempat menyapa Allahyarham dan anak-anak muda ini serta bergambar di tepi mereka yang masih sibuk memotong buluh. Rajin dan tidak banyak cakap. Mereka benar-benar membantu. Semoga syurga menantimu dinda. 

Sewaktu rehat sekitar jam 1 tengahari, dengan riuh rendah orang kampung makan bersama-sama, Allahyarham yang sedang berpuasa sunat 10 Muharram hari ini, perlahan-lahan menuju ke sungai untuk melepaskan lelah. 

Belum sempat kami menghabiskan sepinggan nasi, terdengar sayup laungan meminta tolong. Berkali-kali. Ia adalah tempikan daripada teman-teman Allahyarham yang ada bersama-sama di pinggir sungai. Waktu mu telah sampai. Tiada diawalkan atau dilewatkan walau seminit oleh Tuhan Maha Pencipta. 

Kau pergi secara tiba-tiba. Sosok yang baru tadi tegap menghayun parang bersama-sama kami, menebas dan membersihkan semak-samun, kini hilang lebih 20 minit di dasar air. Masing-masing tidak keruan. Tidak tahu mahu bermula dari mana untuk mencarinya.

Alhamdulillah setelah beberapa ketika, arus bawah air menolak tubuh Allahyarham ke tebing berbatu yang dapat dilihat dan terus sahaja orang kampung terjun mendapatkan beliau.

Kami mengusungnya beramai-ramai turun dari puncak jeram dan bergegas ke Hospital Jeli. Namun beliau disahkan meninggal dunia. Kematian itu pasti. Semua yang hidup pasti merasai mati. 

Kami kagum denganmu anak muda. Kekal menyarung uniform Amal hingga ke hujung nyawa, dalam keadaan berpuasa pergi menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Semoga diterima semua amal kebaikan, peluh keringat, jasa dan bakti, jerit perih yang telah kamu tumpahkan selama usia muda mu. 

Bagi teman-teman yang mahu menyumbang, bolehlah menyalurkannya ke akaun Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan, Maybank (5530 1060 6605). Kita sama sama ringankan urusan keluarga Allahyarham. 

Di saat jariku menulis ini, Allahyarham masih berada di Bilik Forensik Hospital Jeli, menunggu untuk dibedah siasat. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan keluarganya.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan
9:01 malam
29 Ogos 2020/10 Muharram 1442H – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -