Nelayan tidak tolak KLIP jika tuntutan dipenuhi

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) menegaskan tidak menolak pembangunan tetapi mengharapkan dilibatkan bersama dalam sebarang perbincangan bagi projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).

Projek berkenaan bukan sahaja perlu mendapat kelulusan EIA (Environmental Impact Assessment) malah persatuan itu berharap mereka menerima pampasan setimpal selepas kajian dibuat terhadap kesan jangka panjang dan pendek bagi projek terbabit.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, sekiranya semua itu dapat diselesaikan tidak ada masalah bagi pihak persatuan nelayan untuk bersetuju dengan pelaksanaan projek KLIP.

Beliau menyatakan perkara ini kepada pemberita dalam sidang media selepas selesai sesi dialog bersama ahli dan pimpinan PNKMB yang diadakan di Dewan PKNMB Kuala Linggi di sini, semalam.

Selain MAFI, dialog yang membincangkan isu pembangunan KLIP yang dikhuatiri menjejaskan mata pencarian nelayan ini turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Negeri Melaka.

KLIP merupakan projek di bawah kerajaan Negeri Melaka bagi pembangunan infrastruktur dan menaik taraf fasiliti pelabuhan membabitkan kawasan seluas 620 ekar di Kuala Linggi.

Antara fasiliti pelabuhan yang hendak dinaik taraf adalah komponen tank farm, ship repair yard, fabrication yard, perkhidmatan pelabuhan dan maritim.

Menurut maklumat dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Melaka, seramai 817 orang nelayan di Negeri Melaka dan 265 orang nelayan dari Teluk Kemang Negeri Sembilan dijangka antara yang terjejas.

Ia membabitkan kemerosotan pendapatan sebanyak 80 peratus disebabkan kawasan tangkapan yang mengecil, pengurangan hasil tangkapan disebabkan penurunan kualiti air dan kemusnahan tempat pembiakan ikan.

Terdahulu, Presiden PNKMB, Mazelan Abu Bakar ketika berucap dalam majlis dialog itu melahirkan rasa kesal kerana persatuan nelayan tidak langsung dimaklumkan tentang projek berkenaan.

“Untuk pengetahuan Dato’ (Timbalan Menteri MAFI) kita di peringkat persatuan ini tidak dimaklumkan langsung tentang projek KLIP dan kita tidak tahu-menahu tentang projek KLIP.

“Tahu-tahu awal tahun depan dah nak mula operasi korek pasir seperti yang dimaklumkan oleh pihak UPEN,” ujar Mazelan.

Kata Mazelan lagi, tindakan ini membuatkan seolah-olah persatuan ini seperti tidak wujud sedangkan PNKMB adalah persatuan yang mewakili 255 ahli meliputi 10 pangkalan nelayan di Melaka Barat melibatkan tiga DUN iaitu DUN Air Limau, DUN Kuala Linggi dan DUN Tanjung Bidara.

Tambah beliau, walaupun sudah mendapat bantuan Pejabat Ahli Parlimen Masjid Tanah sebagai orang tengah antara persatuannya dengan syarikat yang menguruskan projek KLIP untuk mengadakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat lengkap tentang projek ini, namun mereka tidak dilayan oleh pihak syarikat.

Tegas Mazelan, sebarang pembangunan yang menyentuh periuk nasi nelayan harus diberi ganti rugi yang setimpal, bukan sekadar sagu hati semata-mata.

Katanya lagi, nelayan akan kehilangan segala-galanya apabila mereka tidak boleh lagi mencari rezeki di laut, lebih-lebih lagi itu sahaja kemahiran yang mereka miliki untuk mencari rezeki yang diwarisi dari generasi terdahulu.

Ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh ahli PNKMB dalam sesi dialog itu, Timbalan UPEN Melaka, Yusof Abu Bakar menjelaskan bahawa kelulusan yang diperolehi untuk KLIP sebenarnya hanya kelulusan di peringkat dasar.

Jelasnya, ada empat kajian utama perlu dibuat sebelum projek itu boleh dilaksanakan iaitu kajian alam sekitar, kajian kesan terhadap nelayan dan sumber perikanan, kajian terhadap kesan sosial dan kajian terhadap kesan kemungkinan kemusnahan warisan sejarah.

“Untuk engagement dengan nelayan memang satu keperluan bagi salah satu daripada peringkat dalam kajian itu apabila kajian itu dibuat nanti. Semua pihak kita akan panggil nanti,” kata Yusof.

Menjawab persoalan tentang faedah yang diperolehi penduduk setempat dari projek ini, Yusof berkata memang pada masa ini kerajaan Negeri Melaka ada meletakkan syarat penglibatan tempatan sebanyak 30 peratus untuk setiap projek yang dijalankan.

Tambah beliau lagi kerajaan negeri akan memastikan bahawa kerja-kerja termasuk penyelenggaraan, pembersihan dan peluang pekerjaan mesti 30 peratus melibatkan penduduk tempatan.

Di akhir ucapannya, Yusof berjanji bahawa semua perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli persatuan yang hadir di dalam program dialog itu akan dibawa kepada pihak kerajaan Negeri Melaka untuk pertimbangan dalam melaksanakan KLIP.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz, Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Melaka, Othman Ahmad.

Selain itu, Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Dato’ Mas Ermieyati Samsudin, Norihan Bahari mewakili ahli parlimen itu kerana tidak dapat hadir ekoran menghadiri satu program di Sabah. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -