MTIB tandatangan perjanjian dengan Kerajaan Terengganu

Foto Media MB Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) hari ini menandatangani memorandum perjanjian bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Bamboo Jungle Adventures dan Golden Pharos Berhad mengenai Pembangunan Manual Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan.

Aplikasi manual ini dibangunkan sebagai rujukan kepada semua pihak yang ingin membina bangunan dengan menggunakan produk berasaskan buluh sebagai struktur komponennya.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama, turut diadakan Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan yang bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan potensi penggunaan buluh dalam industri pembinaan kepada pihak industri perkayuan dan orang ramai.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, seminar ini diadakan selepas melihat rakyat semakin cakna terhadap perkembangan komoditi buluh sekarang.

“Ia bersesuaian dengan hasrat kita (kementerian) untuk meningkatkan lagi ruang pekerjaan untuk B40. Ia juga bagi meningkatkan pendapatan mereka,” ujar Mohd Khairuddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu, Bamboo Jungle Adventures dan Golden Pharos Berhad di Camelia Grand Ballroom, Hotel Paya Bunga, hari ini.

Jelas Mohd Khairuddin, pihak MTIB akan membantu membangkitkan industri buluh ini
tidak hanya untuk industri tradisional sahaja tetapi boleh ditransformasikan sebagai produk nilai tambah dalam pelbagai industri.

“Penggunaan buluh bukan hanya untuk industri tradisional sahaja tetapi kita mahu transformasikan ke arah pengunaan bagi menghasilkan produk nilai tambah seperti komposit, papan lantai, perabut, bahan binaan bangunan dan produk biomass seperti arang yang bukan sahaja berpotensi untuk pasaran domestik bahkan untuk eksport secara komersial,” ujarnya.

Katanya, jumlah eksport produk berasaskan buluh masih kecil hanya sebanyak RM3 juta berbanding produk berasaskan kayu jumlah eksportnya RM9.6 bilion bagi suku kedua tahun ini.

Terdahulu turut berlangsung Majlis Penyerahan Surat Kebenaran Cadangan Membina Surau Ikonik Buluh oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada MTIB. – HARAKAHDAILY 29/8/2020

- Advertisement -