Kerjasama jamin kemenangan PRN Sabah, PRU15

Perlukan gabungan parti-parti politik, elak bertembung lebih dua penjuru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan PRK DUN N.58 Slim menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk semua parti politik bekerjasama mengurangkan pertandingan lebih daripada dua penjuru semasa PRN Sabah dan PRU15 jika mahu meraih jaminan kemenangan.

- Advertisement -

Pandangan tersebut ditegaskan Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed ketika mengulas pengamatan awal data-data perolehan berdasarkan kiraan tidak rasmi yang diperolehi beliau daripada PRK kedua di era Kerajaan Perikatan Nasional ini.

Analisis beliau dibuat berdasarkan bilangan turun mengundi yang jauh lebih rendah iaitu 68.4 peratus jika dibandingkan semasa PRU14 iaitu 81.9 peratus mewakili 19,060 pengundi, malah kurang daripada sasaran minimum 85 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Calon BN memperolehi lebih 80 peratus berdasar kiraan tidak rasmi setakat ini iaitu 84.5 peratus undi keseluruhan. Berbanding pada PRU14 di sini BN memperoleh 44.8 peratus dan PAS dapat 22.1 peratus, manakala BERSATU 33.1 peratus.

“Jika dicampur peratusan undi BN dan PAS semasa PRU14 itu menjadi 66.9 peratus. Jadi peratusan undi diperolehi kali ini lebih tinggi iaitu bertambah 17.6 peratus setakat ini berbanding gabungan undi PAS dan BN pada PRU14 itu.

“Jadi, peningkatan 17.6 peratus ini besar kemungkinan dari pengundi BERSATU pada PRU14 lalu yang telah mengundi BN pada PRK kali ini. Maka, jika Perikatan Nasional mahu menjamin kemenangan pada PRN Sabah dan PRU15, terdapat keperluan mendesak, mesti bergabung, elak tanding lebih dua penjuru,” ujarnya.

Keputusan ini juga kata beliau yang merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa beberapa perkara boleh dijadikan pertimbangan untuk parti politik semasa PRN di Sabah dan PRU15 nanti.

Beliau memperincikan perkara tersebut antaranya parti politik dan rakyat sudah beralih kepada orang muda untuk diberikan peluang sebagai calon dalam pentas politik negara apabila ketiga-tiga calon di DUN slim berumur bawah 45 tahun.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz berumur 43 tahun, manakala calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berumur 38 tahun, sementara seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran berumur 44 tahun yang menjadi indikasi penting bahawa lebih ramai calon muda bakal dicalonkan.

Keputusan tersebut juga tegasnya, menunjukkan keberkesanan kerjasama Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional yang membantu kemenangan BN, selain kawasan FELDA kekal menjadi kubu kuat BN dan Perikatan Nasional.

“Menjadi petunjuk kepada konsistensi tahap sokongan rakyat terutamanya masyarakat Melayu yang mewakili 75 peratus pengundi di DUN Slim dan sebelum ini di PRK Chini iaitu 90.4 peratus yang cenderung menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ini merupakan satu indikator jelas bahawa masyarakat Melayu lebih selesa dengan Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2020

- Advertisement -