Suri PAS-Umno dekati pengundi Slim

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad menyifatkan bahawa hubungan muslimat PAS dan Wanita Umno Perak semakin erat dengan kerjasama PRK DUN N.58 Slim ini.

- Advertisement -

Beliau ditemui di dalam program ‘Sepetang Bersama 2 Suri’ yang turut sama dihadiri oleh Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di Felda Gunung Besout 4, semalam.

Jelasnya lanjut, kerjasama yang baik sejak awal gerak kerja PRK Slim di antara PAS, Umno dan BERSATU ini merupakan signal positif gambaran awal kestabilan politik Perikatan Nasional (PN) di negeri Perak.

“Ini PRK pertama di negeri Perak selepas tertubuhnya Perikatan Nasional. Jika dari awal sebegini kita telahpun (boleh) duduk semeja bekerjasama, Insya-Allah Perikatan Nasional Perak mampu terus mencipta kestabilan politik di Perak,” jelas beliau.

Kongsinya lagi, ketiga-tiga parti politik ini hendaklah terus diperkukuh dan dipupuk sebaiknya kesefahaman antara pemimpin dan ahli bagi mengelakkan pergolakan politik sekali gus berupaya menjadi kerajaan yang terbaik untuk rakyat.

Hal ini kerana terangnya, sebagai parti kerajaan, fokus seharusnya dipertingkat saban hari ialah keamanan dan kesejahteraan rakyat di mana ia merupakan tanggungjawab utama bagi sesiapa sahaja yang bergelar pemimpin.

“PAS ada kelebihannya tersendiri. Begitu juga Umno mahupun sahabat kita dari BERSATU. Usah kita fikir persengketaan lama. Adalah lebih baik kita memandang jauh kehadapan, terus berdamai (dan) perkukuh Perikatan Nasional,” ulas beliau.

Turut berlangsung di dalam pertemuan yang bermula jam 2:30 petang itu, demo masakan Nasi Ambeng dan konvoi ziarah kasih Muslimat PAS dan Wanita Umno kepada lima buah rumah terpilih. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -