Dewan Ulamak PAS Lumut berjaya ditubuhkan

- Advertisement -

LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah berjaya menubuhkan Dewan Ulamak PAS Lumut secara rasminya pada detik bersejarah majlis yang telah diadakan di Tahfiz Al-Abrar, Teluk Rubiah, di sini semalam.

- Advertisement -

Ketua Urusan Ulamak PAS Lumut, Ustaz Hamid Hasan memaklumkan, PAS Kawasan Lenggong dan Tambun telah mendahului menubuhkan Dewan Ulamak PAS Kawasan secara rasmi.

Manakala Lumut katanya, menjadi kawasan yang ketiga bagi penubuhan ini di mana ia mengambil sedikit masa kerana perlu memenuhi syarat sangat ketat. 

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Perak,  Ustaz Ibrahim Zakaria yang dalam ucapannya telah memperingatkan kepentingan tarbiyah ahli kerana soal kefahaman adalah asas utama kekuatan perjuangan PAS.

Beliau turut mangajak ahli PAS mencontohi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang sangat aktif mempromosikan Islam dibawa oleh PAS kepada bukan-Islam.

Malah, mereka itu ujarnya, menyeru ahli PAS jangan mempunyai prasangka yang tidak baik kepada mereka kerana boleh jadi Allah menghantar mereka kerana orang Islam sendiri sudah tidak mahu kepada Islam.

“Kita kena ingat pemerintahan Islam jatuh kerana umat Islam yang tidak mahu kepada Islam. Jatuhnya Kerajaan Uthmaniyah kerana ummat Islam menolak Islam, bukannya kerana orang lain.

“Maka menjadi peranan Dewan Ulamak untuk menyedarkan umat Islam agar kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar,” ujarnya lagi.

Yang Dipertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman pula ketika ucapannya menyentuh agar Dewan Ulamak menjadi pakar rujuk kepada PAS Kawasan dan masyarakat dalam pelbagai permasalahan.

Juga katanya, segala persoalan yang ditunggu dan dicari oleh rakyat di mana beliau juga berharap ulamak menjadi sayap yang mampu ‘menerbangkan badan’ PAS Kawasan.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Zainal Abidin Saad dan Muhammad Ghani serta Setiausaha, Hamidun Ahmad dan semua Ketua Dewan-dewan. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -