RMK-12: Belia sasaran agenda negara

Foto Facebook Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mensasarkan pembangunan ekonomi dan sosial golongan belia agar lebih mampan dan utuh, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam forum Townhall Anak Muda Muafakat Nasional di Sungkai, Perak.

Menurutnya, kerajaan mensasarkan anak muda sebagai agenda paling utama kerana faktor demografinya yang semakin bertambah setiap tahun.

- Advertisement -

“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjangkakan pengundi muda yang berumur sekitar 20 sehingga 40 tahun seramai 7.8 juta menjelang 2022,” ucapnya di Dewan Serbaguna Felda Trolak Utara.

Jelasnya, pembangunan golongan belia akan disusun dan diperkuatkan berdasarkan jumlah kekuatannya.

“Oleh itu, anak muda sama ada di bandar, luar bandar, Pantai Timur, Pantai Barat, Sabah dan Sarawak tidak akan dicicirkan daripada mendapat manfaat daripada semua Kementerian.

“Kita akan memastikan semua pengumuman yang dibuat oleh Kementerian berhubung anak muda akan diselaraskan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana terdapat 17 buah Kementerian yang menjaga dan menguruskan kepentingan anak muda,” katanya.

Sehubungan dengan itu, KBS mengambil insiatif mengambil kerjasama rentas kementerian dengan melaksanakan satu sistem iaitu MyBelia.

“MyBelia adalah satu laman dan sistem yang mengurus semua maklumat dan pengumuman yang melibatkan anak muda serta kemudahan bagi mencari peluang pekerjaan.

“Contohnya, KBS dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan jalinkan kerjasama bagi membangunkan usahawan petani muda.

“Selain itu, KBS juga jalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memperkasakan pembangunan ekonomi yang melibatkan pekerjaan anak muda dan sebagainya,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Turut menjadi panel jemputan dalam program yang diadakan malam tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Hj Khairil Nizam Khirudin, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -