Kerajaan PN pelihara hak semua kaum

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Gerak kerja teratur dan kemas dalam PRK DUN N.58 Slim memperlihatkan pimpinan PAS, Umno dan BERSATU memiliki sifat keterbukaan yang besar kerana sanggup bekerjasama untuk memenangkan calon BN.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, sedangkan selama ini antara parti tersebut terutama antara PAS dan Umno saling bertentangan dan berpatah arang yang tidak kurang kerasnya.

“Kalau tengok kepada sejarah silam, apa yang PAS tak pernah kata pada Umno? Apa yang Umno tak pernah kata pada PAS? Saling balas-membalas. (Tapi) itu dulu. (Kini) kita telah berbaik semula atas rasa ukhuwah Islamiyah, demi perpaduan ummah. Itu kepentingan nombor satu yang perlu dijaga.

“Justeru itu (lah) PAS sejak daripada penamaan calon, (bahkan) sebelum penamaan calon dah buka bilik gerakan untuk membantu calon (BN). Dan kita juga tidak (pun) meminta untuk bertanding kerana kita tahu ini kawasan Umno,” jelasnya di Ceramah PRK N58 Slim, semalam.

Beliau yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Datuk berkata, calon BN di dalam PRK ini hendaklah mendapat undian majoriti daripada pengundi PAS, Umno dan BERSATU kerana ia akan memberi impak besar dalam menggambarkan keutuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya lanjut, kemenangan calon BN di dalam PRK Slim ini bukan sahaja memberi kemenangan kepada Umno, malah ia merupakan kemenangan bersama antara PAS, Umno dan BERSATU dalam gabungan Kerajaan PN.

Terangnya lagi, rakyat Malaysia pastinya mengimpikan Kerajaan PN yang majoritinya terdiri daripada gabungan parti Melayu dan Islam memegang tampuk pimpinan negara kerana dengannya sistem Islam mampu dilaksanakan dalam mentadbir urus negara melalui konsep Rahmatan lilalamin.
 
“Jangan bimbang, kita tidak akan gunakan sentimen Melayu, untuk kepentingan orang Melayu. Kita tidak guna sentimen Islam hanya untuk Islam. Walaupun Melayu menguasai negara, hak kaum lain juga pasti kita akan pelihara.

“Contohya di Kelantan, apa jadi kepada masyarakat Siam yang minoriti? Apa jadi pada masyarakat Cina dan India yang minoriti? Adakah mereka dianiaya sekarang ini? Oleh hal sedemikian kita sebagai kerajaan PN akan buktikan, kita boleh berlaku adil pada rakyat,” ulas beliau.

Jelasnya bagi menutup ucapan di Dewan Seri Sungkai itu, kerjasama dan permuafakatan PAS, Umno dan BERSATU khususnya di Perak akan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi mencapai kemenangan yang unggul dalam PRU15 akan datang. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -