DUN Kedah lantik Speaker, Timbalan dan Senator

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Juhari Bulat hari ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu.

Pelantikan beliau dibuat pada sesi persidangan DUN di sini bagi menggantikan Datuk Ahmad Kassim yang meletak jawatan pada 15 Ogos lepas.

Juhari sebelum ini merupakan  Timbalan Speaker DUN bermula 4 Julai 2018 yang dilantik ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Turut dilantik hari ini, ADUN Pantai Merdeka, Ustaz Ahmad Fadzli Hashim sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Terdahulu sidang DUN sedikit tegang apabila Ketua Pembangkang, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mempertikaikan pelantikan Speaker yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.
 
Phahrolrazi mendakwa ahli dewan tidak menerima notis kekosongan jawatan Speaker.

Sidang DUN kali ini yang berlangsung dua hari hingga esok adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH pada Mei lepas.

Pada 17 Mei lalu, ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang sebelum itu meletak jawatan susulan hilang sokongan majoriti ADUN.

Persidangan DUN juga meluluskan usul Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya dilantik sebagai Senator bagi mewakili negeri itu di Dewan Negara.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan bekas Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 14 Ogos lepas.

Pemilihan Ahmad, 45, dicadangkan oleh kerajaan negeri dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 yang berlangsung di Wisma Darul Aman di sini.

Persidangan turut bersetuju mengemukakan bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz, 61, sebagai seorang lagi Senator mewakili negeri itu, menggantikan Datuk Dr S. Ananthan.

Mohd Suhaimi dan Ananthan yang merupakan Pengerusi MIC Kedah dilantik sebagai Senator pada 2017 untuk tempoh sepenggal selama tiga tahun.- BERNAMA

- Advertisement -