Perutusan Maal Hijrah MB Terengganu

- Advertisement -

PERISTIWA hijrah memberi pengertian yang amat besar buat umat Islam. Alhamdulillah, kita masih diberi ruang dan peluang untuk menghayati hari yang amat bermakna ini. Bertitik tolak daripada peristiwa inilah, syiar Islam terus berkembang mekar ke seluruh pelosok dunia.

Kita wajar menghargai nikmat Islam yang kita kecapi hari ini dengan menghayati kesusahan yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan agama Allah S.W.T. Jika diteliti, ujian dan cabaran yang dilalui hari ini tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh Baginda S.A.W. Namun, realitinya ia tetap menuntut pengorbanan dan penghijrahan daripada semua pihak.

Cuba kita toleh sejenak keadaan masyarakat di sekeliling kita pada hari ini. Ia menyaksikan bahawa sebahagian umat Islam semakin luntur akhlak dan adab mereka. Masalah gejala sosial semakin berleluasa menyalahi fitrah manusia seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender dan banyak lagi. 

- Advertisement -

Sebahagian manusia juga semakin meninggalkan kehidupan beragama sedangkan Islam jualah yang akan memandu mereka kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Al-Quran dan al-Sunnah semakin ditinggalkan. Bahkan sebahagian yang lainnya mempersendakan agama kerana terlalu menurut hawa nafsu mereka. Inilah fitnah akhir zaman yang menjadi kebimbangan kita semua.

Tema Maal Hijrah tahun ini, ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’ sangat relevan dengan situasi semasa. Ia menuntut masyarakat untuk berhijrah dan kembali semula kepada Allah Azza wa Jalla sekali gus menjalani kehidupan beragama menurut al-Quran dan al-Sunnah sepertimana yang telah dipimpin oleh Rasulullah S.A.W.

Menjadi cita-cita seluruh rakyat untuk melihat negara dan negeri membangun ke satu tahap yang lebih baik melalui penghayatan hijrah sebenar bagi melahirkan ummah yang bertamadun dan negara yang harmoni. 

Akhir kata, mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam.

“Ummah Rabbani, Negara Harmoni”
“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

DATO’ SERI DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -