Pertanian dan Bumi Hijau sangat diberi perhatian

- Advertisement -

PASIR SALAK: PAS sangat memberi perhatian kepada hal ehwal pertanian dan juga alam sekitar yang merupakan nadi penting kehidupan serta hubungan manusia di atas muka bumi sebagaimana juga banyak disentuh dalam al-Quran.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Kawasan Pasir Salak, Mohamad Asri Ismail berkata, kerana itu PAS amat mendukung program Bumi Hijau yang disemarakkan kembali dari Kempen Buku Hijau di mana pernah dilancar tahun 2006 dahulu.

Beliau mengulas penganjuran program tersebut oleh Kerajaan Negeri Perak yang telah mengadakan Majlis Penyerahan Kit Bumi Hijau yang telah diadakan di Dewan Rimbun Kasih, Desa Aman Jaya, di sini kelmarin dahulu.

Majlis dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan turut dihadiri Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman di mana mereka telah menyeru masyarakat memulakan inisiatif itu di kediaman masing-masing.

Menurut Mohamad Asri lagi, perhatian tersebut hinggakan di dalam PAS diwujudkan secara khusus LATAS yang bertanggungjawab dan menggerakkan agenda berkaitannya, malah sentiasa memastikan ia menjadi sebahagian daripada agenda negara.

Jelasnya, pencapaian di sektor pertanian dan pemuliharaan alam sekitar saling berhubung kait, selain membabitkan kepentingan keselamatan makanan dan makanan selamat yang menjamin kelangsungan hidup makhluk di atas muka bumi.

Kerana itu juga kata beliau, PAS sentiasa memperjuangkan, terlibat bersama pihak berkaitan dan bersuara hingga di Parlimen mengenai perkara seperti ini bagi memastikan ianya berada pada landasan sewajarnya dalam pemerintahan negara.

Beliau turut memaklumkan betapa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga akan hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) setiap kali penganjurannya sebagai menunjukkan perhatian PAS itu.

“Dalam manifesto terdahulu, PAS meletakkan beberapa janji dalam hal pertanian seperti mewujudkan mekanisme yang lebih berkesan untuk membantu petani, penternak dan nelayan,” tambahnya lagi.

Beliau juga berharap usaha dilaksanakan tersebut dapat mengurangkan kebergantungan kepada sayuran dan sumber makanan yang diimport, justeru dapat membantu menjimatkan perbelanjaan negara. – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -